Tuesday, January 7, 2014

Cerpen : Cinta, tolonglah pergi!!

Tajuk : Cinta, tolonglah pergi!!
Oleh : Yati Yula

Asyila menongkat dagu, merenung jauh keluar kedai makan yang sentiasa menjadi kunjungannya. Restoran Suam Kuku. Sepadan dengan namanya memang pelanggan di sini pun suam-suam kuku. Entah dari mana pemilik restoran ini mendapat nama agaknya. Bosan. Itulah yang dirasakan. Sepatutnya usia remaja yang dimilikinya dihabiskan bersama kawan-kawan yang lain akan tetapi semua kawan-kawannya sibuk dengan aktiviti berpacaran masing-masing sehinggakan tiada waktu untuknya. Salahkah dalam usia 24 tahun masih belum mempunyai teman istimewa? Bukan dia memilih tetapi dia tidak pernah dipilih. Dengan sentiasa bertudung bawal yang sengaja dilabuhkan bahagian hadapannya, berseluar slack dan berselipar itu membuatkan dirinya kelihatan tidak menarik apatah lagi dengan badannya yang sedikit gempal dan tidak pernah dicalitkan sebarang alat solek di wajahnya, kusam, suram dan seram. Lahir dalam keluarga yang serba sederhana dan merupakan anak sulung daripada 3 beradik membuatkan Asyila menjadi seorang yang bertanggungjawab. Duit pinjaman pelajaran PTPTN atau yang sering digelar PTPTipu oleh rakan-rakan yang lain sering dikirimkan kepada 3 orang adiknya yang masih bersekolah. Namun begitu dia merasakan sangat bahagia dapat menolong adik-adiknya yang lain. Perlahan Asyila bangun dari tempat duduknya dan berlalu ke rumah sewanya. Dilihat sahabatnya Nurizzah sedang berpusing-pusing di hadapan cermin besar dengan baju baharunya.

“Ila, minggu ni aku nak turun KL, kau nak ikut tak?” tanya Nurizzah sahabat baiknya sambil menghulurkan sehelai selendang yang baru dibeli kepada Asyila.

Asyila menggaru-garu kepala yang tidak gatal. “Nak ke mana? Baru minggu lepas turun KL, tak nak lah aku kalau sekadar nak teman kau ber’dating’ je.” Asyila terus melilit dan melilit selendang di kepalanya dan apabila agak berpuas hati dia meminta Nurizzah untuk mengambil gambarnya.

“Jangan ambil gambar nampakkan aku gemuk tau! Ambil dari angle atas ye, sia-sia kau belajar fotografi kalau tak dapat meng’kurus’kan diriku ini. Hehe.” Pinta Asyila lalu menghulurkan telefon Samsung Galaxcy Ace kepada Nurizzah.

“Aku ajak kau gi KL, sambil-sambil teman aku dating, kesian kau sorang kat rumah ni, minggu ni rasanya diorang semua ada aktiviti. Tinggal kau sorang lepas tu mulalah buat status sedih di FB. Nyampah. Dah, cepat! Senyum!” Tingkah Nurizzah lalu menekan butang untuk mengambil gambar Asyila.

“Tak apalah, malas aku nak kacau daun kau dating dengan Ikhwan. Ke dengan siapa kali ni? Helmi? Iskandar? Tak kan lah dengan si driver bas tu pula?” soal Asyila bertubi-tubi.

“Rahsia, kalau nak tahu sila ikut. Tapi kalau kau ikut pun sebenarnya tak best juga. Haha, tak boleh aku nak manja-manja asyik kena manja dengan kau je lah. Dah la, kau duduk je kat umah sewa kesayangan kau ni, layan FB dan YM tu, aku akan cuba balik secepat mungkin. Kesian kawan aku ni duk sorang lama-lama.” Nurizzah terus berlalu mengemas sedikit barang untuk dibawa bersama ke KL.

            “Teringin juga nak ada pakwe macam kau ni, tapi aku tak nak yang biasa-biasa lah, terus nak cari yang luar biasa, biar cinta melekat dalam hati aku sampai aku mati. Kau tak apalah Nur, cantik menarik tertarik. Sekali jelling dah tentu 10 orang lelaki jatuh. Aku ni, sepuluh kali jeling pun belum tentu lalat jatuh tau, entah-entah aku yang jadi juling. Ok Nur, have a nice trip. Jangan nak menggatal sangat yer, balik nanti belikan aku apa-apa.” Sempat Asyila berpesan sambil ekor mata menghantar Nurizzah ke luar. Nurizzah hanya tersenyum dan membuat ‘peace’ sahaja.

Usai Nurizzah pergi, Asyila merenung siling dan terus mencapai tuala untuk membersihkan diri. Malam ini dia akan meneruskan aktiviti ber’chatting’ nya itu. Sejak bapanya menghadiahkan sebuah komputer riba jenama Acer untuk memudahkan tugasannya, Asyila sudah pandai memuat turun pelbagai aplikasi termasukkah aplikasi YM atau lebih dikenali sebagai Yahoo Messenger. Itu pun setelah berkali-kali Nurizzah mengajarnya untuk menggunakan aplikasi tersebut.

Selesai menunaikan solat Isya’, Asyila terus membuka komputer ribanya yang diberi nama ‘Lappy’ di ruang tamu. Televisyen dihidupkan agar suasana rumah sewanya tidak terlalu sunyi ekoran semua manusia di rumahnya itu tidak akan balik malam ini. Seram. Untung berada dekat kawasan kampus, line wifi yang diperolehnya adalah percuma sepanjang tahun. Terus sahaja Asyila memuat naik gambar yang diambil oleh Nurizzah pada petang tadi di laman FB dan YM nya.

Tak sampai lima belas minit dia memuat naik gambar terbaharunya itu, YM sudah menyala-nyala dan bising dengan ‘BUZZ’. Dalam ramai-ramai, Asyila tertarik kepada nick name “Pontianak Hensem”.

Pontianak Hensem : Cute gambar U. Boleh panggil I Daniel je. I di Shah Alam, dah kerja, ada masa boleh la jumpa, kenal-kenal.

Asyila Chubby : Hehe, thanks. I Ila, study lagi. In Sya Allah.

Pontianak Hensem : U selalu online ke? I jarang online. Jom tukar nombor, nanti boleh whatsap ke wechat ke. I rasa berminat nak kenal dengan U dengan lebih ‘rapat’ lagi.

Asyila Chubby : Boleh je. So Daniel, ni no I, nak out dulu la. 0123456789.

Potianak Hensem : Ok Ila, bye.

Bermula episod itu, Asyila asyik dengan dunia SMS, Whatsup dan Wechatnya dengan Daniel. Perkenalan tidak kurang dari dua bulan telah membuatkan Asyila dan Daniel bersetuju untk bertemu kali pertama. Asyila agak berdebar-debar menunggu penerimaan Daniel terhadap dirinya yang serba kekurangan ini.

Daniel : Ila, jom kita jumpa. I datang sana, kita keluar makan. Kalau U rasa tak selesa ajakla kawan temankan.

Asyila : Ok Daniel. Esok jam 10 pagi ye, depan Restoran Suam Kuku.

Daniel : Ok sayang. Bereh.

Asyila terus melemparkan telefonnya di atas tilam lalu menuju ke bilik Nurizzah. Tanpa mengetuk pintu terus Asyila meluru masuk ke bilik sahabat baiknya dan melabuhkan punggungnya dia atas kerusi.

“Nur, aku nak jumpa Daniel esok. Jom temankan aku. Aku nak pakai macam mana esok ni ye?” tanya Asyila sambil menarik-narik tangan Nurizzah.

“Wow, sejak bila dah pandai nak ber’dating’ ni. Ok, esok aku temankan. Just be yourself, dear. Aku bagi pinjamkan kau selendang je, lilit sikit lepas tu tenyeh gincu. Kau tu dah sedia comel, tau?” Nurizzah menghulurkan sehelai selendang bewarna merah jambu. Asyila terseyum lantas melentokkan kepala di bahu Nurizzah tanda ucapan terima kasih kerana sudi menemaninya esok.

“Esok tau, jangan lupa. Pukul 10. Kau jangan pakai cantik sangat. Biar aku yang menyerlah esok.” Asyila terus keluar dari bilik Nurizzah sambil menintal-mintal selendang yang baru sahaja dipinjamnya itu. Nurizzah mengeleng-gelengkan kepala lantas tersenyum dengan telatah Asyila.

Keesokkan harinya tepat jam 9 pagi, Asyila sudah siap untuk bertemu Daniel. Hanya berseluar jeans dan memakai blaus berbunga kecil serta mengenakan selendang bewarna merah jambu kepunyaan Nurizzah. Asyila tampak manis dengan tubuhnya yang sedikit gempal. Moga Daniel dapat menerima dirinya seadanya, doa Asyila dalam hati.

“Awalnya bersiap. Wah, pandai pun nak ‘dressing’ macam ni. Tenyeh sikit gincu kat bibir tu. Pucat sangat aku nampak.” Ujar Nurizzah yang juga sudah siap berpakaian.

“Tengok la kau ni, pakai jeans dan t-shirt dah nampak cun. Habisla aku macam ni, karang Daniel pandang kau je lah.” Asyila tak berkelip memandang Nurizzah yang sememangnya memiliki kecantikan semulajadi kerana sahabatnya itu mempunyai darah kacukan Melayu Bugis Arab. “Tapi, dalam cerita ni aku heroin. So, secantik manapun kawan aku ni, aku tetap heroin!”

“Dah, jangan nak merepek. Jom kita gi makan dulu sebelum Daniel sampai. Karang ada yang jenis malu-malu kucing pula nak makan. Maklumlah first time dating. Haha.”  Nurizzah lantas berlalu sambil menarik tangan Asyila yang masih terkebil-kebil di muka pintu.

Seusai sampai di Restoran Suam Kuku, Asyila terpandang seseorang yag mirip wajah Daniel yang pernah menghantar gambar kepadanya dahulu. Belum sempat Asyila mengalihkan pandangannya ke arah lain, Daniel terus memanggil Asyila.

“Ila, kat sini la.” Kuis Daniel melambai-lambai ke arah Asyila. Kelihatan Daniel juga datang bersama seorang kawan. Asyila terpinga-pinga. Nurizzah membalas lambaian Daniel lalu menarik tangan Asyila mendekati meja Daniel.

“Sorry la, tak cam tadi.” Asyila bersuara setelah tiba di meja Daniel. Daniel tersenyum dan menganggukkan kepala. Asyila ingin pengsan melihat senyuman manis Daniel. Sangat manis.

“Duduk la Ila, segan pulak dia. Dalam SMS macam banyak mulut. Oops, sebelum terlupa. Ni kenalkan kawan Daniel. Adif namanya. Dia kerja area sini, senang sikit nak cari restoran ni.” Kawan Daniel hanya menjeling dan tersenyum lantas menghabiskan saki baki makanan yang masih berada di pinggannya. Nurizzah menelan air liur melihat Milo Ais yang diminum oleh Adif. Adif yang perasan airnya dilihat oleh Nurizzah terus mencapai Milo Ais  dan menelannya sehingga habis kemudian bersedawa. Daniel tergelak kecil.

“Ceh, macamlah aku teringin sangat air milo dia. Hampeh. Kurang sopan betul.” tuntas hati kecil Nurizzah lalu menarik Asyila duduk di sebelahnya. Asyila yang masih lagi termimpi-mimpi senyuman Daniel sebentar tadi terus melabuhkan punggung di kerusi kosong berhadapan Daniel.

“Kak, bagi Nasi Ayam 2 dengan Milo Ais Tabur Dinosour gelas besar 2, kau ok tak Ila?” Nurizzah siap memesan makanan sambil menyiku Asyila. Asyila hanya mengangguk. Adif buntang mata mendengar pesanan makanan daripada Nurizzah.

“Ila ok tak ni? Dari tadi senyap je. Lepas ni kita keluar pergi tengok wayang nak? Tapi I kena hantar Adif dulu, dia nak masuk kerja kejap lagi.” Soalan Daniel dibiarkan sepi kerana Nasi Ayam yang dipesan oleh Nurizzah sudah selamat sampai. Nampak Nasi Ayam yang mengiurkan membuatkan Asyila terlupa Daniel berada di depan matanya. Dijamahnya Nasi Ayam tersebut walaupun minumannya masih belum sampai. Senyap seketika. Daniel dan Adif hanya menjadi pemerhati yang setia. Setiap kunyahan dari Asyila dan Nurizzah membangkitkan kembali selera makan mereka berdua. Sungguh berselera gadis berdua ini makan.

“Alhamdulillah,” serentak Asyila dan Nurizzah mengucapkan syukur setelah menghabiskan Nasi Ayam dan kini mata mereka terarah pula kepada Milo Ais Tabur yang sememngnya menjadi kegemaran mereka berdua sejak di bangku sekolah lagi.

“Maaflah Daniel, Adif. Kami ni memang alahan dengan makanan yang sedap. Lagi satu, orang tua pesan kalau tengah makan tak boleh bercakap.” Asyila bersuara setelah lama menyepi.
“Eh, kami okey. Makanlah makan.” Daniel ralit memerhatikan tingkah laku Asyila. Asyila diam tapi masih menyuapkan milo di dalam mulutnya.

Selesai makan-makan di Restoran Suam Kuku, Adif meminta diri untuk ke tempat kerja kerana masih terdapat banyak perkara yang perlu diselesaikan. Nurizzah juga meminta diri untuk pulang kerana mempunyai temu janji lain petang itu. Tinggal Asyila bersama Daniel. Setelah Daniel menghantar Adif ke tempat kerja, Asyila mengambil tempat duduk di hadapan. Sepanjang perjalanan untuk menonton wayang, Asyila banyak mendiamkan diri. Dia masih tidak percaya yang dia akan berjumpa dengan Daniel buat pertama kalinya dan Daniel menerima dirinya seadanya.

Selepas berjumpa buat kali pertama, mereka turut mengatur perjumpaan yang lain. Perhatian dan kasih sayang yang ditunjukkan oleh Daniel menyebabkan Asyila betul-betul jatuh cinta kepada Daniel. Daniel sedikit pun tidak pernah mengambil kesempatan atas diri Asyila. Malah, Nurizzah turut mengakui kebaikan Daniel dan selalu mengatakan keberuntungan Asyila kerana memiliki jejaka seperti Daniel. Asyila yang tidak pernah menerima kasih daripada mana-mana jejaka merasakan diri dia sangat bertuah mengenali Daniel.

Hampir setahun menyulam kasih bersama Daniel, Asyila dikejutkan dengan pemergian bapa tercinta. Asyila rebah di pangkuan Nurizzah tatkala mendengar berita daripada ibunya sendiri. Daniel mengambil keputusan untuk mengiringi Asyila pulang ke Terengganu bersama-sama Nurizzah. Nurizzah memberitahu Daniel bahawa Asyila sememangnya rapat dengan bapanya. Pilu hatinya tatkala mendengar esak tangis Asyila. Setelah sampai di rumahnya, Asyila rebah dalam pelukan ibunya, Puan Maziah. Puan Maziah agak terkejut apabila Asyila pulang bersama Nurizzah dan seorang lelaki yang tidak dikenalinya. Puan Maziah yang masih lagi dalam kesedihan membiarkan Daniel menguruskan segalanya. Adik-adik Asyila masih terkejut dengan pemergian bapa mereka yang secara tiba-tiba. Sesungguhnya kehilangan Encik Maideen tiada galang gantinya. Patah tumbuh hilang berganti, sesungguhnya Daniel menjadi tempat Asyila bergantung setelah Asyila kehilangan bapanya. “Allah tidak akan mengambil sesuatu tanpa menggantikan dengan yang lebih baik,” terngiang-ngiang kata-kata Nurizzah. Sahabatnya itu mengatakan Daniel merupakan pengganti bapanya. Ya, memang benar. Kasih dan sayang yang dicurahkan sedikit pun saling tak tumpah seperti arwah Encik Maideen berikan. Asyila sangat beruntung.

Genap tiga tahun hubungan antara Daniel dan Asyila terjalin, namun begitu Asyila sedikit hairan kerana Daniel tidak pernah membangkitkan status hubungan mereka. Mungkin Daniel mahu memberi peluang kepada Asyila yang baru sahaja bertapak di dunia pekerjaan. 27 tahun bukannya satu angka yang disukai oleh remaja perempuan. Asyila kerap kali berkias dengan Daniel mengenai hubungan mereka. Malah ibu di kampung turut bertanyakan tentang hubungan mereka. Pada Nurizzah dia meluahkan segala-galanya.

“Nur, kau rasa Daniel sayangkan aku tak?” soal Asyila kepada Nurizzah di suatu petang. Asyila menggosok perut Nurizzah yang sediki buncit akibat buatan orang. Nurizzah telah berkahwin setahun yang lepas dengan salah seorang buah hatinya.

“Kenapa Ila? Kau ragu dengan Daniel?” soal Nurizzah kembali sambil membaiki tudung yang dihemus angina petang itu.

“Entahlah Nur, dia tak pernah ajak aku bertunang. Apatah lagi kahwin. Cincin yang dia bagi ini mungkin hanya untuk mengikat aku supaya tidak lari dari dia sahaja kut,” tungkas Asyila sambil merenung cincin di jari.

“Aku tak boleh nak kata apa-apa sebab kau lebih mengenali dia kan? Kenapa tiba-tiba kau bangkitkan isu ni pula?” soal Nurizzah lagi.

“Aku stress dengan rakan tempat kerja, dengan keluarga aku, dengan saudara mara aku. Sibuk bertanya bila aku nak kahwin. Umur makin hari makin tua, Nur. Kau tak apalah, dah kahwin dan dah nak keluar pun seorang.” jelas Asyila sambil memerhatikan perut Nurizzah yang semakin membesar.

“Biarlah mereka nak cakap apa pun Ila. Mereka tak layak mempersoalkan perkara yang menjadi rahsia Allah. Aku kahwin awal pun bukan bermakna aku ni hebat, tapi sebab jodoh aku dah sampai. Sabar ya Ila. In Sya Allah, Tuhan sebaik-baik perancang. Allah uji kau dengan cara macam ni, Dia uji aku dengan cara lain. Setiap orang lain ujian dan dugaannya.” Nurizzah menepuk-nepuk bahu sahabatnya. Dia tidak mahu menggoreskan lagi perasaan Asyila yang sedang bersabar dengan ujian Allah ini.

“Entahlah Nur, aku dah penat menunggu Daniel. Penat sangat. Aku tak tahu kenapa susah sangat bila diajak berbincang tentang kahwin dan masa depan.” luah Asyila lalu menangis teresak-esak di pangkuan Nurizzah.

“Sabar Ila, kau bawalah berbincang dengan Daniel. Jumpa face to face dan suarakan kehendak hati kau. In Sya Allah, tak lama lagi masalah kau akan selesai.” pujuk  Nurizzah lantas mengajak Asyila untuk pulang kerana hari semakin senja.

Seminggu selepas pertemuan Asyila dengan Nurizzah, dia nekad untuk berjumpa dengan Daniel dan meluahkan apa yang mengganggu benaknya selama ini. Asyila mengatur perjumpaan dengan Danial di sebuah tasik kali ini. Selang beberapa minit akhinya Daniel datang dengan membawa sebungkus coklat Cadbury kegemarannya. Setiap kali berjumpa Asyila, Daniel tidak pernah datang dengan tangan yang kosong.

“Kenapa sayang? Muram sahaja. Macam ada hal penting je ni. Senyum sikit, dah macam burung kakak tua pakai shawl dah abang tengok!” usik Daniel apabila Asyila tidak senyum ke arahnya sejak tadi.

“Sebenarnya Ila ada perkara nak bincang dengan abang ni.” Ujar Asyila lantas mengoyakkan plastik coklat Cadbury dan menyuakan kepada Daniel. Daniel mengangguk meminta Asyila meneruskan percakapannya. Sebagai seorang wanita, Asyila mempunyai perasaan malu untuk menyatakan perihal kahwin tetapi apakan daya, keadaan sekeliling terus mendesak dia menjadi seorang yang berani.

“Abang, kita dah tiga tahun bercinta. Ila pun bukan muda lagi, dah masuk 27 tahun, abang pula dah umur 35. Ibu dan saudara mara kat kampung dah mula bising tanya tentang kahwin ni. Kita ni macam mana sebenarnya abang?” soal Asyila sambil mata memandang ke tanah.

“Sayang, sabar untuk sedikit masa boleh? Abang sayangkan Ila tetapi abang terpaksa uruskan sesuatu dahulu sebelum kita kahwin. Abang janji, akhir tahun ni kita kahwin.!” Tegas Daniel sambil meminta Asyila merenung ke dalam anak matanya.

Pertemuan Asyila dengan Daniel pada petang itu berakhir seperti biasa. Dengan janji manis tetapi kosong. Sekosong hati Asyila kini.


Seminggu selepas tasik menyaksikan pertemuan antara dua hati, kini Asyila dikejutkan dengan satu panggilan telefon daripada seorang perempuan. Syima namanya. Dia ingin berjumpa dengan Asyila, ada perkara penting katanya. Tanpa memikirkan apa-apa, Asyila membuat satu temu janji dengan Syima di tasik yang pernah Asyila dan Daniel bertemu dulu. Syima terlebih dahulu mengecam Asyila yang baru sahaja tiba ketika itu. Syima menjemput Asyila duduk tatkala Asyila sampai di hadapan Syima. Kelihatan dua budak lelaki sedang bermain kereta kawalan jauh berdekatan dengan tempat Syima berdiri.

“Ye, saya Asyila. Ila. Boleh saya tahu kenapa Puan Syima ingin berjumpa dengan saya?” soal Asyila sedikit curiga.

“Saya Syima, rasanya saya sepatutnya bahasakan diri Kak Syima untuk Ila. Betul Ila tak kenal akak?” tanya Syima sambil merenung Asyila. Gadis ini gadis biasa-biasa sahaja fikirnya.

“Maaf kak, straight to the point. Saya agak sibuk hari ni. Akak kata ada perkara penting yang ingin akak beritahu saya.” Asyila merenung wanita yang digelar Kak Syima dihadapannya. Wanita ini tidaklah begitu tua, umur awal 30-an barangkali. Memiliki mata yang bundar dan cantik namun sedikit selekeh.

“Akak datang dari Ipoh sebenarnya Ila. Akak ni sebenarnya isteri Daniel. Akak dapat nombor telefon Ila pun curi-curi dalam telefon bimbit abang Daniel. Akak dapat tahu dah lama Abang Daniel menjalinkan hubungan dengan Ila. Akak cakap direct je lah ye, akak perempuan, Ila juga perempuan. Sudah tentu Ila memahami perasaan akak. Akak harap Ila dapat tinggalkan Abang Daniel demi anak-anak kami.” Ujar Syima sambil menunjukkan beberapa keping gambar perkahwinan dan gambar sekeluarganya kepada Asyila.

Jatuh terduduk Asyila disaat itu, tidak terkeluar walau sepatah kata. Air mata dengan tidak semena-mena merembes keluar dari tubir matanya. Gambar yang bertukar tangan akhirnya jatuh ke bumi. Tidak terdaya mendengar apa-apa lagi daripada wanita bernama Syima itu. Hanya dengan pandangan matanya melewati cerita Syima berkenaan kedua-dua anak hasil perkahwinannya dengan Daniel.

“Akak harap Ila undur diri, jangan ganggu hubungan kami lagi. Tolonglah ya, anak-anak akak perlukan papanya.” tegas Syima di akhir pertemuan.

“Akak jangan bimbang, saya tak mungkin bina kebahagiaan diatas penderitaan orang lain.” Asyila berlalu dengan hati yang sangat terluka. Dia menangis semahu-mahunya di dalam kereta. Terasa dirinya diperbodohkan selama ini. Dia terlalu sayangkan Daniel. Terlalu. Dia tidak tahu apa yang perlu dia lakukan selepas ini. Dia memandu pulang dengan hati yang sangat erat.

Panggilan telefon dan SMS daripada Daniel tidak diendahkan. Kesedihan hatinya dikongsi dengan Allah Yang Maha Mengetahui. Asyila meminta agar Allah memberikan dia kekuatan untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi. Perit. Sakit sangat. Air mata tak henti-henti mengalir. Ya, dia harus berjumpa dengan Daniel untuk menyelesaikan segala-galanya.


Pertemuan terakhir diatur oleh Asyila di tempat yang sama. Tasik yang penuh dengan memori cinta mereka. Cuma kali ini tasik ini mungkin menjadi saksi sebuah cinta yang bakal berakhir di sini.

“Ye, memang abang sudah berkahwin. Lama dahulu. Sebelum kenal Ila lagi tapi abang tak bahagia dengannya. Abang sayangkan Ila sepenuh hati abang. Hanya Ila bertakhta di hati abang kini. Abang akan menceraikan isteri abang kalau Ila mahu.” jelas Daniel apabila Asyila mempersoalkan status dirinya yang sebenar.

“Maaf abang, kita tidak akan bahagia diatas penderitaan orang lain. Sakit sangat rasa hati ini. Tapi Ila kuat, Ila terpaksa lepaskan abang. Jangan bimbang, Ila tak akan ganggu hidup abang lagi. Ila akan bahagia bila lihat abang bahagia. Menyintai tak semestinya memiliki, abang. Kesian anak-anak abang yang dahagakan kasih sayang seorang papa.”ujar Asyila sambil menahan air mata yang keluar. Esak tangis kedengaran namun Asyila terpaksa berlagak kuat depan Daniel. Dia ingin Daniel tahu yang dia sudah nekad dengan keputusannya.

“Tapi Ila, abang tak boleh hidup tanpa Ila. Tolonglah Ila. Ila milik abang selamanya, kan?” Air mata lelaki Daniel tumpah jua. Dia terduduk di hadapan Asyila, meminta Asyila mengerti tentang keadaannya.

“Maaf sekali lagi abang. Kalau dari dulu saya tahu abang sudah berkahwin, memang saya tak akan ganggu hidup abang. Milik abang? Yakin sahaja abang, sesuatu yang telah ditakdirkan menjadi hak kita, Allah tak akan membiarkannya menjadi milik orang lain. Ila mungkin bukan untuk abang. Maaf abang, Ila terpaksa pergi. Jaga diri abang.”
Ditinggalnya Daniel bersama sebuah kotak. Langkah Asyila dihayun pantas kerana dia bimbang dia akan rebah di depan Daniel. Dia perlu kuat. Dia tidak suka digelar perampas dan dia tidak suka merampas kebahagiaan orang lain.

Daniel membuka kotak pemberian Asyila. Penuh dengan cebisan kulit coklat Cadbury dan Daniel terlihat nota kecil buatnya. “Daniel, dengan seluruh rasa yang di segenap jiwa yang cukup memenjara, aku lepaskan ikatan cinta antara kita. Sungguh lara terasa terhiris di dada dengan luka yang tiada ubatnya. Di celah rintihan yang bersisa, ku cuba mencari dimana kesudahannya. Sandiwara cinta luka.” Dan Daniel terus terduduk disitu. Menangis teresak-esak kerana dia sudah tahu, Asyila nekad dalam keputusannya.

Melupakan seseorang begitu sukar sekali tapi Asyila nekad, dia tak akan melupakan Daniel. Biarlah Daniel menjadi sejarah dalam hidupnya. Lelaki pertama yang pernah menyentuh hidupnya. Asyila kini lebih dekat dengan pencipta-Nya. Dia bersyukur Tuhan masih memberikan dia kesempatan untuk hidup di muka bumi ini. In Sya Allah, dia tahu yang janji Allah itu pasti buat dirinya. Keluarganya, saudara maranya tidak lagi bertanya mengenai Daniel. Asyila mengambil keputusan untuk terus mendiamkan diri.

Kata-kata sahabatnya, Nurizzah terngiang di benak fikirannya. “Sesekali kita perlu derita untuk mengenal erti bahagia. Sesekali kita perlu kecewa untuk kita kenal erti kejayaan. Sesekali kita perlu menangis untuk kita syukuri nikmat yang diberi. Sesekali kita perlu terhiris untuk kita kenal diri sendiri.”

Asyila merenung kembali lautan yang terbentang luas di hadapannya. Dia mengeluh perlahan seraya berkata dalam diri “Terima Kasih Allah, kerana masih memberikan aku peluang membetulkan diri aku ini” tegas hatinya. Dia bangun perlahan dan menepis-nepis pasir yang berada di bajunya. Cinta itu perlu dilepaskan pergi.


“Apabila kita redha atas sesuatu perkara yang mengecewakan hati kita, maka Allah akan menggantikan kekecewaan itu dengan kegembiraan yang kadang kalanya di luar jangkaan kita. Janji Allah itu pasti” - Asyila

10 Disember 2013 (Selasa)

11:26 malam

2 comments: