Tajuk : Cinta, tolonglah
pergi!!
Oleh : Yati Yula
Asyila menongkat dagu, merenung jauh
keluar kedai makan yang sentiasa menjadi kunjungannya. Restoran Suam Kuku.
Sepadan dengan namanya memang pelanggan di sini pun suam-suam kuku. Entah dari
mana pemilik restoran ini mendapat nama agaknya. Bosan. Itulah yang dirasakan.
Sepatutnya usia remaja yang dimilikinya dihabiskan bersama kawan-kawan yang
lain akan tetapi semua kawan-kawannya sibuk dengan aktiviti berpacaran
masing-masing sehinggakan tiada waktu untuknya. Salahkah dalam usia 24 tahun
masih belum mempunyai teman istimewa? Bukan dia memilih tetapi dia tidak pernah
dipilih. Dengan sentiasa bertudung bawal yang sengaja dilabuhkan bahagian
hadapannya, berseluar slack dan berselipar itu membuatkan dirinya kelihatan
tidak menarik apatah lagi dengan badannya yang sedikit gempal dan tidak pernah
dicalitkan sebarang alat solek di wajahnya, kusam, suram dan seram. Lahir dalam
keluarga yang serba sederhana dan merupakan anak sulung daripada 3 beradik
membuatkan Asyila menjadi seorang yang bertanggungjawab. Duit pinjaman
pelajaran PTPTN atau yang sering digelar PTPTipu oleh rakan-rakan yang lain
sering dikirimkan kepada 3 orang adiknya yang masih bersekolah. Namun begitu
dia merasakan sangat bahagia dapat menolong adik-adiknya yang lain. Perlahan
Asyila bangun dari tempat duduknya dan berlalu ke rumah sewanya. Dilihat
sahabatnya Nurizzah sedang berpusing-pusing di hadapan cermin besar dengan baju
baharunya.
“Ila, minggu ni aku nak turun KL, kau
nak ikut tak?” tanya Nurizzah sahabat baiknya sambil menghulurkan sehelai
selendang yang baru dibeli kepada Asyila.
Asyila menggaru-garu kepala yang tidak
gatal. “Nak ke mana? Baru minggu lepas turun KL, tak nak lah aku kalau sekadar
nak teman kau ber’dating’ je.” Asyila terus melilit dan melilit selendang di
kepalanya dan apabila agak berpuas hati dia meminta Nurizzah untuk mengambil
gambarnya.
“Jangan ambil gambar nampakkan aku
gemuk tau! Ambil dari angle atas ye, sia-sia kau belajar fotografi kalau tak
dapat meng’kurus’kan diriku ini. Hehe.” Pinta Asyila lalu menghulurkan telefon Samsung
Galaxcy Ace kepada Nurizzah.
“Aku ajak kau gi KL, sambil-sambil
teman aku dating, kesian kau sorang kat rumah ni, minggu ni rasanya diorang
semua ada aktiviti. Tinggal kau sorang lepas tu mulalah buat status sedih di
FB. Nyampah. Dah, cepat! Senyum!” Tingkah Nurizzah lalu menekan butang untuk
mengambil gambar Asyila.
“Tak apalah, malas aku nak kacau daun
kau dating dengan Ikhwan. Ke dengan siapa kali ni? Helmi? Iskandar? Tak kan lah
dengan si driver bas tu pula?” soal Asyila bertubi-tubi.
“Rahsia, kalau nak tahu sila ikut.
Tapi kalau kau ikut pun sebenarnya tak best juga. Haha, tak boleh aku nak
manja-manja asyik kena manja dengan kau je lah. Dah la, kau duduk je kat umah
sewa kesayangan kau ni, layan FB dan YM tu, aku akan cuba balik secepat
mungkin. Kesian kawan aku ni duk sorang lama-lama.” Nurizzah terus berlalu
mengemas sedikit barang untuk dibawa bersama ke KL.
“Teringin juga
nak ada pakwe macam kau ni, tapi aku tak nak yang biasa-biasa lah, terus nak
cari yang luar biasa, biar cinta melekat dalam hati aku sampai aku mati. Kau
tak apalah Nur, cantik menarik tertarik. Sekali jelling dah tentu 10 orang
lelaki jatuh. Aku ni, sepuluh kali jeling pun belum tentu lalat jatuh tau,
entah-entah aku yang jadi juling. Ok Nur, have a nice trip. Jangan nak
menggatal sangat yer, balik nanti belikan aku apa-apa.” Sempat Asyila berpesan
sambil ekor mata menghantar Nurizzah ke luar. Nurizzah hanya tersenyum dan
membuat ‘peace’ sahaja.
Usai Nurizzah pergi, Asyila merenung siling dan terus mencapai
tuala untuk membersihkan diri. Malam ini dia akan meneruskan aktiviti
ber’chatting’ nya itu. Sejak bapanya menghadiahkan sebuah komputer riba jenama Acer
untuk memudahkan tugasannya, Asyila sudah pandai memuat turun pelbagai aplikasi
termasukkah aplikasi YM atau lebih dikenali sebagai Yahoo Messenger. Itu pun
setelah berkali-kali Nurizzah mengajarnya untuk menggunakan aplikasi tersebut.
Selesai menunaikan solat Isya’, Asyila terus membuka komputer
ribanya yang diberi nama ‘Lappy’ di ruang tamu. Televisyen dihidupkan agar
suasana rumah sewanya tidak terlalu sunyi ekoran semua manusia di rumahnya itu
tidak akan balik malam ini. Seram. Untung berada dekat kawasan kampus, line
wifi yang diperolehnya adalah percuma sepanjang tahun. Terus sahaja Asyila
memuat naik gambar yang diambil oleh Nurizzah pada petang tadi di laman FB dan
YM nya.
Tak sampai lima belas minit dia memuat naik gambar terbaharunya
itu, YM sudah menyala-nyala dan bising dengan ‘BUZZ’. Dalam ramai-ramai, Asyila
tertarik kepada nick name “Pontianak Hensem”.
Pontianak Hensem : Cute gambar U. Boleh panggil I Daniel je. I di
Shah Alam, dah kerja, ada masa boleh la jumpa, kenal-kenal.
Asyila Chubby : Hehe, thanks. I Ila, study lagi. In Sya Allah.
Pontianak Hensem : U selalu online ke? I jarang online. Jom tukar
nombor, nanti boleh whatsap ke wechat ke. I rasa berminat nak kenal dengan U
dengan lebih ‘rapat’ lagi.
Asyila Chubby : Boleh je. So Daniel, ni no I, nak out dulu la.
0123456789.
Potianak Hensem : Ok Ila, bye.
Bermula episod itu, Asyila asyik
dengan dunia SMS, Whatsup dan Wechatnya dengan Daniel. Perkenalan tidak kurang
dari dua bulan telah membuatkan Asyila dan Daniel bersetuju untk bertemu kali
pertama. Asyila agak berdebar-debar menunggu penerimaan Daniel terhadap dirinya
yang serba kekurangan ini.
Daniel : Ila, jom kita jumpa. I datang sana, kita keluar makan.
Kalau U rasa tak selesa ajakla kawan temankan.
Asyila : Ok Daniel. Esok jam 10 pagi ye, depan Restoran Suam Kuku.
Daniel : Ok sayang. Bereh.
Asyila terus melemparkan telefonnya di atas tilam lalu menuju ke
bilik Nurizzah. Tanpa mengetuk pintu terus Asyila meluru masuk ke bilik sahabat
baiknya dan melabuhkan punggungnya dia atas kerusi.
“Nur, aku nak jumpa Daniel esok. Jom temankan aku. Aku nak pakai
macam mana esok ni ye?” tanya Asyila sambil menarik-narik tangan Nurizzah.
“Wow, sejak bila dah pandai nak ber’dating’ ni. Ok, esok aku
temankan. Just be yourself, dear. Aku bagi pinjamkan kau selendang je, lilit
sikit lepas tu tenyeh gincu. Kau tu dah sedia comel, tau?” Nurizzah
menghulurkan sehelai selendang bewarna merah jambu. Asyila terseyum lantas
melentokkan kepala di bahu Nurizzah tanda ucapan terima kasih kerana sudi
menemaninya esok.
“Esok tau, jangan lupa. Pukul 10. Kau jangan pakai cantik sangat.
Biar aku yang menyerlah esok.” Asyila terus keluar dari bilik Nurizzah sambil
menintal-mintal selendang yang baru sahaja dipinjamnya itu. Nurizzah
mengeleng-gelengkan kepala lantas tersenyum dengan telatah Asyila.
Keesokkan harinya tepat jam 9 pagi, Asyila sudah siap untuk
bertemu Daniel. Hanya berseluar jeans dan memakai blaus berbunga kecil serta
mengenakan selendang bewarna merah jambu kepunyaan Nurizzah. Asyila tampak
manis dengan tubuhnya yang sedikit gempal. Moga Daniel dapat menerima dirinya
seadanya, doa Asyila dalam hati.
“Awalnya bersiap. Wah, pandai pun nak ‘dressing’ macam ni. Tenyeh
sikit gincu kat bibir tu. Pucat sangat aku nampak.” Ujar Nurizzah yang juga
sudah siap berpakaian.
“Tengok la kau ni, pakai jeans dan t-shirt dah nampak cun. Habisla
aku macam ni, karang Daniel pandang kau je lah.” Asyila tak berkelip memandang
Nurizzah yang sememangnya memiliki kecantikan semulajadi kerana sahabatnya itu
mempunyai darah kacukan Melayu Bugis Arab. “Tapi, dalam cerita ni aku heroin.
So, secantik manapun kawan aku ni, aku tetap heroin!”
“Dah, jangan nak merepek. Jom kita gi makan dulu sebelum Daniel
sampai. Karang ada yang jenis malu-malu kucing pula nak makan. Maklumlah first
time dating. Haha.” Nurizzah lantas
berlalu sambil menarik tangan Asyila yang masih terkebil-kebil di muka pintu.
Seusai sampai di Restoran Suam Kuku, Asyila terpandang seseorang
yag mirip wajah Daniel yang pernah menghantar gambar kepadanya dahulu. Belum
sempat Asyila mengalihkan pandangannya ke arah lain, Daniel terus memanggil
Asyila.
“Ila, kat sini la.” Kuis Daniel melambai-lambai ke arah Asyila.
Kelihatan Daniel juga datang bersama seorang kawan. Asyila terpinga-pinga.
Nurizzah membalas lambaian Daniel lalu menarik tangan Asyila mendekati meja
Daniel.
“Sorry la, tak cam tadi.” Asyila bersuara setelah tiba di meja
Daniel. Daniel tersenyum dan menganggukkan kepala. Asyila ingin pengsan melihat
senyuman manis Daniel. Sangat manis.
“Duduk la Ila, segan pulak dia. Dalam SMS macam banyak mulut.
Oops, sebelum terlupa. Ni kenalkan kawan Daniel. Adif namanya. Dia kerja area
sini, senang sikit nak cari restoran ni.” Kawan Daniel hanya menjeling dan
tersenyum lantas menghabiskan saki baki makanan yang masih berada di
pinggannya. Nurizzah menelan air liur melihat Milo Ais yang diminum oleh Adif.
Adif yang perasan airnya dilihat oleh Nurizzah terus mencapai Milo Ais dan menelannya sehingga habis kemudian
bersedawa. Daniel tergelak kecil.
“Ceh, macamlah aku teringin sangat air milo dia. Hampeh. Kurang
sopan betul.” tuntas hati kecil Nurizzah lalu menarik Asyila duduk di
sebelahnya. Asyila yang masih lagi termimpi-mimpi senyuman Daniel sebentar tadi
terus melabuhkan punggung di kerusi kosong berhadapan Daniel.
“Kak, bagi Nasi Ayam 2 dengan Milo Ais Tabur Dinosour gelas besar
2, kau ok tak Ila?” Nurizzah siap memesan makanan sambil menyiku Asyila. Asyila
hanya mengangguk. Adif buntang mata mendengar pesanan makanan daripada
Nurizzah.
“Ila ok tak ni? Dari tadi senyap je. Lepas ni kita keluar pergi
tengok wayang nak? Tapi I kena hantar Adif dulu, dia nak masuk kerja kejap
lagi.” Soalan Daniel dibiarkan sepi kerana Nasi Ayam yang dipesan oleh Nurizzah
sudah selamat sampai. Nampak Nasi Ayam yang mengiurkan membuatkan Asyila
terlupa Daniel berada di depan matanya. Dijamahnya Nasi Ayam tersebut walaupun
minumannya masih belum sampai. Senyap seketika. Daniel dan Adif hanya menjadi
pemerhati yang setia. Setiap kunyahan dari Asyila dan Nurizzah membangkitkan
kembali selera makan mereka berdua. Sungguh berselera gadis berdua ini makan.
“Alhamdulillah,” serentak Asyila dan Nurizzah mengucapkan syukur
setelah menghabiskan Nasi Ayam dan kini mata mereka terarah pula kepada Milo
Ais Tabur yang sememngnya menjadi kegemaran mereka berdua sejak di bangku
sekolah lagi.
“Maaflah Daniel, Adif. Kami ni memang alahan dengan makanan yang
sedap. Lagi satu, orang tua pesan kalau tengah makan tak boleh bercakap.”
Asyila bersuara setelah lama menyepi.
“Eh, kami okey. Makanlah makan.” Daniel ralit memerhatikan tingkah
laku Asyila. Asyila diam tapi masih menyuapkan milo di dalam mulutnya.
Selesai makan-makan di Restoran Suam Kuku, Adif meminta diri untuk
ke tempat kerja kerana masih terdapat banyak perkara yang perlu diselesaikan.
Nurizzah juga meminta diri untuk pulang kerana mempunyai temu janji lain petang
itu. Tinggal Asyila bersama Daniel. Setelah Daniel menghantar Adif ke tempat
kerja, Asyila mengambil tempat duduk di hadapan. Sepanjang perjalanan untuk
menonton wayang, Asyila banyak mendiamkan diri. Dia masih tidak percaya yang
dia akan berjumpa dengan Daniel buat pertama kalinya dan Daniel menerima
dirinya seadanya.
Selepas berjumpa buat kali pertama, mereka turut mengatur
perjumpaan yang lain. Perhatian dan kasih sayang yang ditunjukkan oleh Daniel
menyebabkan Asyila betul-betul jatuh cinta kepada Daniel. Daniel sedikit pun
tidak pernah mengambil kesempatan atas diri Asyila. Malah, Nurizzah turut
mengakui kebaikan Daniel dan selalu mengatakan keberuntungan Asyila kerana
memiliki jejaka seperti Daniel. Asyila yang tidak pernah menerima kasih
daripada mana-mana jejaka merasakan diri dia sangat bertuah mengenali Daniel.
Hampir setahun menyulam kasih bersama Daniel, Asyila dikejutkan
dengan pemergian bapa tercinta. Asyila rebah di pangkuan Nurizzah tatkala
mendengar berita daripada ibunya sendiri. Daniel mengambil keputusan untuk
mengiringi Asyila pulang ke Terengganu bersama-sama Nurizzah. Nurizzah
memberitahu Daniel bahawa Asyila sememangnya rapat dengan bapanya. Pilu hatinya
tatkala mendengar esak tangis Asyila. Setelah sampai di rumahnya, Asyila rebah
dalam pelukan ibunya, Puan Maziah. Puan Maziah agak terkejut apabila Asyila
pulang bersama Nurizzah dan seorang lelaki yang tidak dikenalinya. Puan Maziah
yang masih lagi dalam kesedihan membiarkan Daniel menguruskan segalanya.
Adik-adik Asyila masih terkejut dengan pemergian bapa mereka yang secara
tiba-tiba. Sesungguhnya kehilangan Encik Maideen tiada galang gantinya. Patah
tumbuh hilang berganti, sesungguhnya Daniel menjadi tempat Asyila bergantung
setelah Asyila kehilangan bapanya. “Allah tidak akan mengambil sesuatu tanpa
menggantikan dengan yang lebih baik,” terngiang-ngiang kata-kata Nurizzah.
Sahabatnya itu mengatakan Daniel merupakan pengganti bapanya. Ya, memang benar.
Kasih dan sayang yang dicurahkan sedikit pun saling tak tumpah seperti arwah
Encik Maideen berikan. Asyila sangat beruntung.
Genap tiga tahun hubungan antara
Daniel dan Asyila terjalin, namun begitu Asyila sedikit hairan kerana Daniel
tidak pernah membangkitkan status hubungan mereka. Mungkin Daniel mahu memberi
peluang kepada Asyila yang baru sahaja bertapak di dunia pekerjaan. 27 tahun
bukannya satu angka yang disukai oleh remaja perempuan. Asyila kerap kali
berkias dengan Daniel mengenai hubungan mereka. Malah ibu di kampung turut
bertanyakan tentang hubungan mereka. Pada Nurizzah dia meluahkan
segala-galanya.
“Nur, kau rasa Daniel sayangkan aku tak?” soal Asyila kepada
Nurizzah di suatu petang. Asyila menggosok perut Nurizzah yang sediki buncit
akibat buatan orang. Nurizzah telah berkahwin setahun yang lepas dengan salah
seorang buah hatinya.
“Kenapa Ila? Kau ragu dengan Daniel?” soal Nurizzah kembali sambil
membaiki tudung yang dihemus angina petang itu.
“Entahlah Nur, dia tak pernah ajak aku bertunang. Apatah lagi
kahwin. Cincin yang dia bagi ini mungkin hanya untuk mengikat aku supaya tidak
lari dari dia sahaja kut,” tungkas Asyila sambil merenung cincin di jari.
“Aku tak boleh nak kata apa-apa sebab kau lebih mengenali dia kan?
Kenapa tiba-tiba kau bangkitkan isu ni pula?” soal Nurizzah lagi.
“Aku stress dengan rakan tempat kerja, dengan keluarga aku, dengan
saudara mara aku. Sibuk bertanya bila aku nak kahwin. Umur makin hari makin
tua, Nur. Kau tak apalah, dah kahwin dan dah nak keluar pun seorang.” jelas Asyila
sambil memerhatikan perut Nurizzah yang semakin membesar.
“Biarlah mereka nak cakap apa pun Ila. Mereka tak layak
mempersoalkan perkara yang menjadi rahsia Allah. Aku kahwin awal pun bukan
bermakna aku ni hebat, tapi sebab jodoh aku dah sampai. Sabar ya Ila. In Sya
Allah, Tuhan sebaik-baik perancang. Allah uji kau dengan cara macam ni, Dia uji
aku dengan cara lain. Setiap orang lain ujian dan dugaannya.” Nurizzah
menepuk-nepuk bahu sahabatnya. Dia tidak mahu menggoreskan lagi perasaan Asyila
yang sedang bersabar dengan ujian Allah ini.
“Entahlah Nur, aku dah penat menunggu Daniel. Penat sangat. Aku
tak tahu kenapa susah sangat bila diajak berbincang tentang kahwin dan masa
depan.” luah Asyila lalu menangis teresak-esak di pangkuan Nurizzah.
“Sabar Ila, kau bawalah berbincang dengan Daniel. Jumpa face to
face dan suarakan kehendak hati kau. In Sya Allah, tak lama lagi masalah kau
akan selesai.” pujuk Nurizzah lantas
mengajak Asyila untuk pulang kerana hari semakin senja.
Seminggu selepas pertemuan Asyila dengan Nurizzah, dia nekad untuk
berjumpa dengan Daniel dan meluahkan apa yang mengganggu benaknya selama ini.
Asyila mengatur perjumpaan dengan Danial di sebuah tasik kali ini. Selang
beberapa minit akhinya Daniel datang dengan membawa sebungkus coklat Cadbury
kegemarannya. Setiap kali berjumpa Asyila, Daniel tidak pernah datang dengan
tangan yang kosong.
“Kenapa sayang? Muram sahaja. Macam ada hal penting je ni. Senyum
sikit, dah macam burung kakak tua pakai shawl dah abang tengok!” usik Daniel
apabila Asyila tidak senyum ke arahnya sejak tadi.
“Sebenarnya Ila ada perkara nak bincang dengan abang ni.” Ujar
Asyila lantas mengoyakkan plastik coklat Cadbury dan menyuakan kepada Daniel.
Daniel mengangguk meminta Asyila meneruskan percakapannya. Sebagai seorang
wanita, Asyila mempunyai perasaan malu untuk menyatakan perihal kahwin tetapi
apakan daya, keadaan sekeliling terus mendesak dia menjadi seorang yang berani.
“Abang, kita dah tiga tahun bercinta. Ila pun bukan muda lagi, dah
masuk 27 tahun, abang pula dah umur 35. Ibu dan saudara mara kat kampung dah
mula bising tanya tentang kahwin ni. Kita ni macam mana sebenarnya abang?” soal
Asyila sambil mata memandang ke tanah.
“Sayang, sabar untuk sedikit masa boleh? Abang sayangkan Ila
tetapi abang terpaksa uruskan sesuatu dahulu sebelum kita kahwin. Abang janji,
akhir tahun ni kita kahwin.!” Tegas Daniel sambil meminta Asyila merenung ke
dalam anak matanya.
Pertemuan Asyila dengan Daniel pada petang itu berakhir seperti
biasa. Dengan janji manis tetapi kosong. Sekosong hati Asyila kini.
Seminggu selepas tasik menyaksikan pertemuan antara dua hati, kini
Asyila dikejutkan dengan satu panggilan telefon daripada seorang perempuan.
Syima namanya. Dia ingin berjumpa dengan Asyila, ada perkara penting katanya.
Tanpa memikirkan apa-apa, Asyila membuat satu temu janji dengan Syima di tasik
yang pernah Asyila dan Daniel bertemu dulu. Syima terlebih dahulu mengecam
Asyila yang baru sahaja tiba ketika itu. Syima menjemput Asyila duduk tatkala
Asyila sampai di hadapan Syima. Kelihatan dua budak lelaki sedang bermain kereta
kawalan jauh berdekatan dengan tempat Syima berdiri.
“Ye, saya Asyila. Ila. Boleh saya tahu kenapa Puan Syima ingin
berjumpa dengan saya?” soal Asyila sedikit curiga.
“Saya Syima, rasanya saya sepatutnya bahasakan diri Kak Syima
untuk Ila. Betul Ila tak kenal akak?” tanya Syima sambil merenung Asyila. Gadis
ini gadis biasa-biasa sahaja fikirnya.
“Maaf kak, straight to the point. Saya agak sibuk hari ni. Akak
kata ada perkara penting yang ingin akak beritahu saya.” Asyila merenung wanita
yang digelar Kak Syima dihadapannya. Wanita ini tidaklah begitu tua, umur awal
30-an barangkali. Memiliki mata yang bundar dan cantik namun sedikit selekeh.
“Akak datang dari Ipoh sebenarnya Ila. Akak ni sebenarnya isteri
Daniel. Akak dapat nombor telefon Ila pun curi-curi dalam telefon bimbit abang
Daniel. Akak dapat tahu dah lama Abang Daniel menjalinkan hubungan dengan Ila.
Akak cakap direct je lah ye, akak perempuan, Ila juga perempuan. Sudah tentu
Ila memahami perasaan akak. Akak harap Ila dapat tinggalkan Abang Daniel demi
anak-anak kami.” Ujar Syima sambil menunjukkan beberapa keping gambar
perkahwinan dan gambar sekeluarganya kepada Asyila.
Jatuh terduduk Asyila disaat itu, tidak terkeluar walau sepatah
kata. Air mata dengan tidak semena-mena merembes keluar dari tubir matanya.
Gambar yang bertukar tangan akhirnya jatuh ke bumi. Tidak terdaya mendengar
apa-apa lagi daripada wanita bernama Syima itu. Hanya dengan pandangan matanya
melewati cerita Syima berkenaan kedua-dua anak hasil perkahwinannya dengan
Daniel.
“Akak harap Ila undur diri, jangan ganggu hubungan kami lagi.
Tolonglah ya, anak-anak akak perlukan papanya.” tegas Syima di akhir pertemuan.
“Akak jangan bimbang, saya tak mungkin bina kebahagiaan diatas
penderitaan orang lain.” Asyila berlalu dengan hati yang sangat terluka. Dia
menangis semahu-mahunya di dalam kereta. Terasa dirinya diperbodohkan selama
ini. Dia terlalu sayangkan Daniel. Terlalu. Dia tidak tahu apa yang perlu dia
lakukan selepas ini. Dia memandu pulang dengan hati yang sangat erat.
Panggilan telefon dan SMS daripada Daniel tidak diendahkan. Kesedihan
hatinya dikongsi dengan Allah Yang Maha Mengetahui. Asyila meminta agar Allah
memberikan dia kekuatan untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi. Perit. Sakit
sangat. Air mata tak henti-henti mengalir. Ya, dia harus berjumpa dengan Daniel
untuk menyelesaikan segala-galanya.
Pertemuan terakhir diatur oleh Asyila di tempat yang sama. Tasik
yang penuh dengan memori cinta mereka. Cuma kali ini tasik ini mungkin menjadi
saksi sebuah cinta yang bakal berakhir di sini.
“Ye, memang abang sudah berkahwin. Lama dahulu. Sebelum kenal Ila
lagi tapi abang tak bahagia dengannya. Abang sayangkan Ila sepenuh hati abang.
Hanya Ila bertakhta di hati abang kini. Abang akan menceraikan isteri abang
kalau Ila mahu.” jelas Daniel apabila Asyila mempersoalkan status dirinya yang
sebenar.
“Maaf abang, kita tidak akan bahagia diatas penderitaan orang
lain. Sakit sangat rasa hati ini. Tapi Ila kuat, Ila terpaksa lepaskan abang.
Jangan bimbang, Ila tak akan ganggu hidup abang lagi. Ila akan bahagia bila
lihat abang bahagia. Menyintai tak semestinya memiliki, abang. Kesian anak-anak
abang yang dahagakan kasih sayang seorang papa.”ujar Asyila sambil menahan air
mata yang keluar. Esak tangis kedengaran namun Asyila terpaksa berlagak kuat
depan Daniel. Dia ingin Daniel tahu yang dia sudah nekad dengan keputusannya.
“Tapi Ila, abang tak boleh hidup tanpa Ila. Tolonglah Ila. Ila
milik abang selamanya, kan?” Air mata lelaki Daniel tumpah jua. Dia terduduk di
hadapan Asyila, meminta Asyila mengerti tentang keadaannya.
“Maaf sekali lagi abang. Kalau dari dulu saya tahu abang sudah
berkahwin, memang saya tak akan ganggu hidup abang. Milik abang? Yakin sahaja
abang, sesuatu yang telah ditakdirkan menjadi hak kita, Allah tak akan
membiarkannya menjadi milik orang lain. Ila mungkin bukan untuk abang. Maaf
abang, Ila terpaksa pergi. Jaga diri abang.”
Ditinggalnya Daniel bersama sebuah kotak. Langkah Asyila dihayun pantas kerana dia bimbang dia akan rebah di depan Daniel. Dia perlu kuat. Dia tidak suka digelar perampas dan dia tidak suka merampas kebahagiaan orang lain.
Ditinggalnya Daniel bersama sebuah kotak. Langkah Asyila dihayun pantas kerana dia bimbang dia akan rebah di depan Daniel. Dia perlu kuat. Dia tidak suka digelar perampas dan dia tidak suka merampas kebahagiaan orang lain.
Daniel membuka kotak pemberian Asyila. Penuh dengan cebisan kulit
coklat Cadbury dan Daniel terlihat nota kecil buatnya. “Daniel, dengan seluruh
rasa yang di segenap jiwa yang cukup memenjara, aku lepaskan ikatan cinta
antara kita. Sungguh lara terasa terhiris di dada dengan luka yang tiada
ubatnya. Di celah rintihan yang bersisa, ku cuba mencari dimana kesudahannya.
Sandiwara cinta luka.” Dan Daniel terus terduduk disitu. Menangis teresak-esak
kerana dia sudah tahu, Asyila nekad dalam keputusannya.
Melupakan seseorang begitu sukar sekali tapi Asyila nekad, dia tak
akan melupakan Daniel. Biarlah Daniel menjadi sejarah dalam hidupnya. Lelaki
pertama yang pernah menyentuh hidupnya. Asyila kini lebih dekat dengan
pencipta-Nya. Dia bersyukur Tuhan masih memberikan dia kesempatan untuk hidup
di muka bumi ini. In Sya Allah, dia tahu yang janji Allah itu pasti buat
dirinya. Keluarganya, saudara maranya tidak lagi bertanya mengenai Daniel.
Asyila mengambil keputusan untuk terus mendiamkan diri.
Kata-kata sahabatnya, Nurizzah terngiang di benak fikirannya. “Sesekali
kita perlu derita untuk mengenal erti bahagia. Sesekali kita perlu kecewa untuk
kita kenal erti kejayaan. Sesekali kita perlu menangis untuk kita syukuri
nikmat yang diberi. Sesekali kita perlu terhiris untuk kita kenal diri
sendiri.”
Asyila merenung kembali lautan yang terbentang luas di hadapannya.
Dia mengeluh perlahan seraya berkata dalam diri “Terima Kasih Allah, kerana
masih memberikan aku peluang membetulkan diri aku ini” tegas hatinya. Dia
bangun perlahan dan menepis-nepis pasir yang berada di bajunya. Cinta itu perlu
dilepaskan pergi.
“Apabila kita redha atas sesuatu perkara yang mengecewakan hati
kita, maka Allah akan menggantikan kekecewaan itu dengan kegembiraan yang
kadang kalanya di luar jangkaan kita. Janji Allah itu pasti” - Asyila
10 Disember 2013 (Selasa)
11:26 malam
mana isinye...
ReplyDeleteMaaf, isinya lambat update.. ;)
Delete