Thursday, October 29, 2009

Di Bawah Lindungan Ka'bah - Hamka

TAJUK KURSUS : PENGANTAR SEJARAH KESUSASTERAAN MELAYU (BST 1012)

TAJUK TUGASAN : Garapan nilai-nilai kemanusiaan dalam novel 1930-an, satu kajian berdasarkan teks sebelum perang dunia ke-2 di Indonesia.

TEKS : DI BAWAH LINDUNGAN KA’BAH karya HAMKA

--------------------------------------------------------------------------------------------


ABSTRAK


Novel merupakan salah satu bentuk karya sastera prosa. Sebagai sebuah karya sastera, novel juga merupakan salah satu bentuk hasil budaya manusia yang dituntut untuk memenuhi aspek-aspek manfaat suatu hasil budaya. Diantara aspek yang dituntut pada sebuah hasil budaya adalah aspek bagi nilai-nilai kemanusiaan. Terkait dengan hal-hal tersebut, maka tinjauan nilai-nilai kemanusiaan dalam novel Di Bawah Lindungan Ka’bah karya Hamka merupakan pengungkapan salah satu fungsi novel sebagai hasil budaya. Telaah terhadap kandungan nilai kemanusiaan pada novel ini dan sejauh penelitian yang telah dilakukan mendapati antara nilai-nilai kemanusiaan yang terkandung dalam novel Di Bawah Lindungan Ka’bah adalah seperti nilai kepentingan agama, nilai kasih sayang, nilai ketabahan hati, nilai simpati, nilai persahabatan yang sejati, nilai kepentingan adat, nilai kepentingan ilmu dan nilai berdikari. Nilai-nilai kemanusiaan ini telah digarab dengan baik oleh hamka bagi menghasilkan sebuah novel yang penuh dengan pengajaran dan teladan bagi setiap yang membacanya. Penerapan nilai-nilai ini adalah untuk memberikan kesedaran dan meningkatkan lagi keperibadian masyarakat Melayu. Manakala nilai-nilai yang negatif haruslah disingkir dari kehidupan sekarang.


ISI KANDUNGAN



































BIL



KANDUNGAN

 



1.0

 



Pengenalan

 



 



2.0

 



Latar Belakang Kajian

2.1 Kajian Lalu

Mohammad Syafiudin Mashud

 



 



3.0

 



Kaedah Penyelidikan

 



 



4.0

 



Analisis Kajian

 



 



5.0

 



Rumusan Kajian

 



 



6.0

 



Bibliografi

 




1.0 PENGENALAN




Novel Di Bawah Lindungan Ka’bah ini telah diilhamkan sekitar tahun 1938 di Indonesia oleh Hamka. Meskipun tergolong sebagai sebuah novel lama, tetapi novel Di Bawah Lindungan Ka’bah ini mempunyai keunikan yang tersendiri. Novel yang dihasilkan sebelum perang dunia ke-2 ini sedikit sebanyak menggambarkan keadaan masyarakat di Indonesia pada waktu itu. Sungguhpun keadaan di Indonesia tidak banyak bezanya dengan keadaan di Malaysia namun berbalik kepada perkembangan novel pada tahun 1930-an, banyak persoalan-persoalan tentang percintaan yang tidak kesampaian telah disentuh oleh penulis. Terdapat juga persoalan mengenai perbezaan darjat. Ini menunjukkan keadaan pada masa itu sudah ada jurang di antara orang miskin dan orang kaya.


Novel ini mengisahkan tentang anak yatim bernama Hamid, dan sejak kecil Hamid sudah tidak mempunyai ayah dan hidup bersama ibunya yang sangat miskin. Ketika menginjak masa sekolah Hamid diambil anak angkat oleh haji Jafar saudagar terkaya di Indonesia. Haji Jafar mempunyai anak gadis bernama Zainab usianya satu tahun lebih muda dari pada Hamid. Hamid dan Zainab telah disekolahkan bersama dan setelah tamat, Hamid menyambung pelajaran agama namun Zainab tidak dibenarkan keluar dari rumah apatah lagi menyambung pelajaran beliau. Masyarakat pada zaman itu menitikberatkan perihal anak gadis mereka yang hanya perlu tinggal dirumah ketika meningkat dewasa dan tidak dibenarkan berpeleseran bagi menjaga maruah dan adat. Namun begitu, dapat dilihat pada masa itu, pelajaran agama telah diterapkan sejak kecil lagi dan mungkin disebabkan oleh pengaruh islam yang begitu meluas sehingga agama diletakkan sebagai pendinding diri dalam menempuhi hari-hari yang mendatang.


Namun sebelum persekolahan Hamid tamat, Haji Jafar telah meninggal dunia dan ini bererti Hamid harus berhenti belajar kerana sudah tiada orang yang membiayainya. Musibah kedua yang ditimpa oleh Hamid pula ialah ibunya meninggal dunia dan ini menjadikan Hamid sebagai anak yatim piatu. Setelah Haji Jafar meninggal, Hamid jarang ke rumah kerana menurut adat seorang lelaki tidak manis berkunjung ke rumah wanita yang bukan muhrimnya. Di Indonesia pada ketika itu, majoriti kaumnya adalah beragama Islam dan oleh hal yang demikian, adat dan agama menjadi tunjang utama dalam melakukan sesuatu.


Menelaah novel yang ditulis dalam tahun 1930-an ini, terdapatnya kisah cinta yang disulam oleh perbezaan darjat dan rasa rendah diri. Sekaligus dapat dilihat dalam novel Di Bawah Lindungan Ka’bah ini, ternyata Hamid dan Zainab saling mencintai namun tidak berani untuk meluahkan kerana Hamid bimbang akan status sosialnya yang jauh lebih rendah dibandingkan dengan Zainab lalu membawa diri ke kota suci Mekah.


Novel ini turut mempersoalkan tentang perkahwinan sedarjat mahupun sekufu. Ini dapat dilihat apabila Ibu Zainab telah menjodohkan anak gadisnya itu dengan saudara jauh suaminya agar harta bendanya tidak jatuh ke tangan orang lain. Namun anak gadisnya itu tidak setuju dengan pilihan ibunya.


Selain daripada itu, dapat dilihat dalam novel yang dihasilkan pada zaman 1930-an ini yang mana terjadinya kisah tragis antara watak utama di dalam novel. Zainab yang dikatakan sakit menderita kerana kerinduan kepada Hamid telah meninggal dunia di Indonesia manakala Hamid yang dalam pada itu kelihatan tabah menghadapi segala yang berlaku namun akhirnya meninggal dunia di bawah lindungan Ka’bah ketika sedang melakukan Tawaf. Cinta Hamid pada Zainab telah kesampaian, tetapi tak dapat menikah kerana adanya jarak adat budaya yang memisahkan mereka berdua.


Jelas menunjukkan bahawa pada masa itu, senario di dalam novel Di Bawah Lindungan Ka’bah tidak banyak bezanya dengan senario masyarakat pada zaman sebelum perang dunia ke-2 di Indonesia pada ketika itu. Dapat disimpulkan disini bahawa masyarakat pada zaman tersebut mengalami kemiskinan namun masih terdapat golongan yang kaya.


Dalam pada itu, masyarakat pada zaman itu amat mementingkan darjat dan keturunan kerana mereka memandang tinggi bagi golongan yang berharta dan menjaga adat yang tidak membenarkan perkahwinan antara golongan miskin dengan golongan kaya ini. Masyarakat pada zaman itu juga memantau batas-batas pergaulan antara lelaki dan perempuan terutamanya anak gadis yang meningkat remaja yang tidak dibenarkan keluar rumah mahupun berpeleseran kerana dikatakan tidak manis. Namun begitu anak gadis yang datang dari keluarga yang berada sahaja yang mengamalkan adat begitu, bagi anak gadis dari keluarga yang miskin, mereka perlu keluar mencari nafkah untuk menyara kehidupan mereka berikutan keadaan ekonomi yang tidak memberangsangkan di Indonesia pada masa itu.


Namun begitu, agama Islam dikatakan berkembang di Indonesia pada zaman itu, dan ini menunjukkan didikan dan ajaran yang bersifat islamik sudah diterapkan dalam diri setiap individu sejak kecil lagi. Masyarakat pada masa itu juga sudah menjadikan agama Islam sebagai pelengkap hidup mereka sehingga ada yang sempat menunaikan haji di bumi Allah iaitu Mekah bagi memenuhi tuntutan rukun Islam yang kelima iaitu seruan haji bagi yang berkemampuan.



2.0 LATAR BELAKANG KAJIAN


Terdapat ramai sarjana yang telah mengkaji novel Di Bawah Lindungan Ka’bah karya Hamka ini. Ini kerana karya ini mempunyai keunikannya yang tersendiri sama ada dari segi teknik penyampaian mahupun dari segi isi yang ingin disampaikan. Terkait dengan hal ini, saya menelaah novel ini dan ingin mengkajinya dari sudut nilai-nilai kemanusiaan yang terdapat di dalamnya. Bagi pendapat saya, terdapat banyak nilai yang boleh dijadikan panduan dalam kehidupan melalui novel ini.


Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, nilai membawa maksud darjat, kualiti, mutu dan taraf. Nilai juga turut didefinisikan sebagai sifat ketinggian (pemikiran, agama, kemasyarakatan, dan lain-lain).


(Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Ketiga 1994 : m/s 930)


Nilai merupakan salah satu aspek terpenting yang diungkapkan oleh pengarang dalam sesebuah karya kesusasteraan terutamanya novel. Nilai merupakan sifat ketinggian sama ada pemikiran, agama, kemasyarakat dan sebagainya yang terdapat dalam sesebuah karya. Biasanya nilai diolah berdasarkan sesuatu motif tertentu yang terdiri daripada objek, peristiwa kejadian dan sebagainya.


Nilai biasanya dapat dikesan dari novel mula dibaca sehinggalah ke akhirnya. Terdapat pelbagai nilai yang dihasilkan sama ada melalui :




  • Perwatakan watak-watak dalam sesebuah cerita

  • Peristiwa, kisah, suasana dan unsur-unsur lain.

  • Persoalan-persoalan yang disungguhkan dan kemudian mendapatkan pokok persoalannya secara keseluruhan

  • Plot cerita


(Diperoleh pada September 10, 2008 daripada laman web Forum EKPKM: http://forum.ekpkm.com/viewtopic.php?f=42&t=358)


Terdapat pelbagai nilai-nilai yang terkandung dalam sesebuah karya sastera sama ada nilai positif mahupun nilai negatif. Di antara nilai yang selalu digunakan dalam menghasilkan sesebuah karya kesusasteraan adalah seperti nilai kemanusiaan, nilai kemasyarakatan, nilai kebudayaan, nilai keagamaan, nilai sosial dan nilai moral.


(Diperoleh pada September 11, 2008 daripada laman web Forum Schools: http://schools.moe.edu.sg/rjc/subjects/malay/unsur%20-%20unsur%20sastera.htm)


Nilai yang terdapat dalam sesebuah novel dapat memberikan penghayatan yang lebih kepada para pembaca kerana kebanyakkan nilai yang diterapkan dalam sesebuah karya merupakan nilai yang terdapat di sekeliling masyarakat pada hari ini.


Saya berpendapat bahawa dengan mengkaji nilai kemanusiaan dalam sesebuah karya akan memberikan kesan yang besar bagi diri saya sendiri. Berdasarkan sumber yang dikaji iaitu novel Di Bawah Lindungan Ka’bah, selain daripada mendapati bahan bacaan ini mempunyai keunikan yang tersendiri, karya sastera ini bukan sekadar luahan perasaan penulis, tetapi juga pengalaman zahir dan batin oleh penciptanya. Berdasarkan penelitian, teks sastera itu mengandung pelbagai aspek antara lainnya ialah aspek psikologis, sosiologis, filsafat, dan ajaran-ajaran moral atau budi pekerti. Di Bawah Lindungan Ka’bah ternyata mengandungi ajaran moral atau pendidikan budi pekerti yang bermanfaat bagi pembaca. Kajian mengenai nilai kemanusiaan dalam teks ini dirasakan berbaloi kerana disamping saya dapat memupuk nilai-nilai positif dalam teks bagi diri saya, saya juga dapat mempraktikkan nilai-nilai tersebut dalam amalan seharian saya.


2.1 KAJIAN LALU



Terdapat banyak kajian lalu berdasarkan teks ini, namun saya hanya memfokuskan kepada kajian yang dilakukan oleh seorang sarjana dari Indonesia iaitu Mohammad Syafiudin Mashud dengan tajuk kajiannya “Nilai-nilai etika agama yang terkandung di dalam novel Di Bawah Lindungan Ka’bah.”  Saya tertarik dengan kajian yang dilakukan oleh saudara Syafiudin kerana beliau hanya memfokuskan tentang nilai etika agama manakala kajian saya lebih kepada nilai-nilai kemanusiaan.


Saudara Mohammad Syafiudin Mashud telah mengkaji novel ini dengan menggunakan kerangka teori tentang etika agama rumusan Prof. Dr. Musa Asy’rie.


Musa Asy’arie mengklasifikasikan etika agama sebagai salah satu sub kajian dalam etika Islam, dan selanjutnya beliau membahagi kajian etika agama tersebut menjadi empat sub kajian; pertama, etika hubungan antara manusia dengan Tuhan; kedua, etika hubungan antara manusia dengan manusia; ketiga, etika hubungan antara manusia dengan alam; dan terakhir, etika hubungan manusia dengan hasil-hasil ciptaan manusia. Keempat bidang kajian tersebut diungkapkan dalam kajian Mohammad Syafiuddin Mashud. Menurut beliau, sejauh kajian mengenai keempat bidang nilai etika agama sebagaimana dalam kerangka teori rumusan Musa Asy’rie berisikan tentang; 1. sikap dan posisi diri manusia terhadap Tuhannya bercorak sufistik; 2. tentang persamaan diantara sesama manusia, dilakukan dengan kritik terhadap adat; 3. alam sekitar dijadikan sebagai sarana dzikir; dan 4. kritikan terhadap orang-orang yang mendewakan dan terbelenggu oleh hasil ciptaan manusia, yaitu berupa kebiasaan dan hukum adat yang bertentangan dengan agama dan merugikan manusia. Jadi keempat bidang etika agama tersebut terkandung dalam novel Di Bawah Lindungan Ka'bah karya Hamka.


3.0 KAEDAH PENYELIDIKAN



Kaedah penyelidikan adalah satu cara untuk mendapatkan data yang akan dikaji atau dianalisis. Dengan itu, kaedah yang akan dilakukan adalah mendapatkan atau menjalankan kajian terhadap permasalahan kajian yang telah dipilih. Dalam kajian ini, pelbagai cara akan digunakan untuk mendapatkan maklumat mengenai kajian ini. Kaedah kajian yang telah digunakan adalah :



Kaedah Penyelidikan : Kajian Teks


Kaedah penyelidikan utama dalam kajian ini ialah kajian teks. Teks yang digunakan ialah novel Di Bawah Lindungan Ka’bah dimana teks tersebut merupakan media utama dalam kajian ini. Teks ini telah dibaca sebanyak beberapa kali agar dapat membuat kajian yang tidak menyimpang dari apa yang dikehendaki.


Kaedah Penyelidikan : Kajian Perpustakaan


Bagi menyiapkan kajian ini, kaedah ke perpustakaan turut digunakan untuk mendapatkan maklumat berhubung dengan kajian. Antara perpustakaan yang dirujuk untuk mendapatkan maklumat adalah seperti Perpustakaan Tengku Bainun di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Manakala bahan-bahan yang akan menjadi rujukan adalah seperti buku-buku rujukan, jurnal-jurnal, dan majalah yang mempunyai kaitan dengan tajuk kajian ini. Segala maklumat berkaitan yang diambil daripada buku-buku, juga daripada nota-nota kuliah yang diberikan oleh pensyarah dan telah diolah, dianalisa, disusun, dan digarap sebaik mungkin dan adanya menggabungjalinkan idea-idea dan pandangan sendiri. Kaedah ini dipilih bertujuan untuk membantu dalam menambah bahan yang sedia ada dan juga dapat menokoktambahkan bahan secara rapi dan berkesan.


4.0 ANALISIS KAJIAN



Terdapat pelbagai nilai kemanusiaan dalam novel Di Bawah Lindungan Ka’bah karya Hamka yang banyak memberikan kesan yang mendalam bagi novel tersebut. Di antara nilai-nilainya yang dapat dikesan melalui penelitian terdapat novel ini adalah seperti nilai kepentingan agama, nilai kasih sayang, nilai ketabahan hati, nilai simpati, nilai persahabatan yang sejati, nilai kepentingan adat, nilai kepentingan ilmu dan nilai berdikari.


Salah satu nilai kemanusiaan yang terdapat dalam novel Di Bawah Lindungan Ka’bah ini adalah nilai kepentingan agama. Nilai kepentingan agama ini dapat dilihat dengan jelas pada awal cerita sehinggalah cerita ini berakhir. Dalam pada itu, agama dikatakan penting bagi diri setiap individu. Pada zaman sebelum perang dunia ke-2, masyarakat di Indonesia pada ketika itu telah mempunyai pegangan agama yang kukuh disamping taat dalam menjalankan perintah Allah. Terdapat segelintir daripada masyarakat pada zaman tersebut yang menjadi ahli sufi mahupun ahli agama yang menjalankan dakwah islamiah. Melalui novel ini, nilai kepentingan agama dapat dilihat dalam setiap watak sama ada watak utama mahupun watak sampingan. Sebagai contoh dalam diri masyarakat pada zaman itu yang berlumba-lumba mahu menunaikan seruan haji bagi mereka yang berkemampuan. Ini dapat dilihat dengan jelas dalam novel ini seperti :


Contoh:


Setahun sebelum itu telah naik haji pula dua orang yang kenamaan dari negeri kita. Maka tersiarkan keamanan Negeri Hejaz.Karena itu banyak orang yang berniat mencukupkan Rukun Islam yang kelima itu. Tiap-tiap kapal haji yang berangkat menuju Jedah penuh sesak membawa jemaah haji.


(Di Bawah Lindungan Ka’bah, 1999:5)


Selain itu, pegangan yang kuat kepada agama dapat menimbulkan rasa keinsafan dalam diri setiap individu.


Contoh :


Kemudian saya insaf, bahawa alam ini penuh dengan kekayaan. Allah menunjukkan kekuasaannya. Tidaklah adil jika semua makhluk dijadikan dalam tertawa, yang akan menangiskan mesti ada pula.


(Di Bawah Lindungan Ka’bah, 1999:44)


Dalam novel Di Bawah Lindungan Ka’bah, nilai kasih sayang dapat dilihat dalam pelbagai situasi sama ada kasih sayang seorang anak kepada ibunya, kasih sayang antara suami isteri, kasih sayang antara pemuda dan pemudi, kasih sayang antara sahabat serta kasih sayang terhadap masyarakat dan bangsanya. Nilai kasih sayang yang ditonjolkan dalam novel Di Bawah Lindungan Ka’bah ini adalah sangat meluas dan terserlah contohnya melalui watak Hamid dan ibunya. Ibunya terlantar sakit, namun demi menasihati anaknya dan tidak mahu anaknya kecewa, dan walaupun Hamid tidak menceritakan perasaannya kepada ibunya namun naluri seorang ibu mengatasi segala-galanya.


Contoh :


”Tidak, Mid, kekuatan ibu dikembalikan Tuhan untuk menyampaikan pembicaraan ini kepadamu.”


”Apakah yang ibu maksudkan?”


”Sebagai seorang yang telah lama hidup, ibu telah mengetahui rahasia pada dirimu.”


”Rahasia apa Ibu?”


”Engkau cinta pada Zainab!”


(Di Bawah Lindungan Ka’bah, 1999:30)


Selain itu, terdapat juga nilai ketabahan hati dalam novel ini. Tabahnya hati seorang pemuda bernama Hamid dalam melayari hidupnya yang penuh dengan dugaan dan cabaran. Semenjak kecil beliau sudah kehilangan ayah, kemudian disusuli pula dengan kehilangan Haji Ja’far yang menyara pembelajarannya sekaligus dengan kehilangan ibu tercinta dan akhir cerita apabila orang yang dicintainya Zainab turut sama meninggal dunia.


Contoh :


Belum berapa lama setelah budiman itu menutup mata, datang pula musibah baru kepada diri saya. Ibu saya yang tercinta, yang telah membawa saya menyeberangi hidup bertahun-tahun telah ditimpa sakit.


(Di Bawah Lindungan Ka’bah, 1999:29)


Dalam novel ini juga, terdapatnya nilai simpati terutamanya terhadap golongan yang miskin. Hal ini dapat dilihat dari watak Haji Ja’far yang begitu baik hati dan rendah diri dalam kehidupannya. Beliau sanggup menyekolahkan Hamid dan menanggung segala perbelanjaan Hamid serta ibunya. Ini menyebabkan Haji Ja’far sangat disenangi oleh Hamid dan ibunya serta masyarakat di sekelilingnya turut memandang tinggi kemurahan hati beliau.


Contoh :


Pada suatu pagi saya datang ke muka ibu saya dengan perasaan yang sangat gembira, membawa kabar suka yang sangat membesarkan hatinya, yaitu besok Zainab akan diantarkan ke sekolah dan saya dibawa serta. Saya akan disekolahkan dengan belanja Engku Haji Ja’far sendiri bersama-sama anaknya.


Mendengar perkataan itu, terlompatlah air mata ibuku karena suka cita, kejadian yang selama ini sangat diharap-harapkannya.


(Di Bawah Lindungan Ka’bah, 1999:18)


Nilai persahabatan sejati turut diwujudkan dalam novel Di Bawah Lindungan Ka’bah karya Hamka ini. Ini dapat dilihat persahabatan yang wujud dalam diri aku (penulis), Hamid dan juga jemaah haji yang lain. Ini dapat dilihat kerana Hamid menceritakan segala masalah iaitu kisah kehidupannya kepada aku (penulis) dalam novel ini walaupun baru mengenalnya. Persahabatan yang dibina oleh mereka diakhiri dengan kematian Hamid di tanah suci dan tatkala Hamid menghembuskan nafas terakhir juga, sahabat-sahabatnya berada disisi dan mengusung jenazah malah permulaan cerita ini adalah dimulakan dengan surat dari sahabat dan diakhiri dengan aku (penulis) mengziarahi perkuburan Hamid. Ternyata Hamka menggarapkan nilai persahabatan yang tinggi dalam novel ini.


Contoh :


Setelah nyata wafatnya, maka dengan tidak menunggu lama, kedua Badui itu memikul mayat itu ke rumah syekh kami. Dan mereka berdualah juga yang mengurus dan memikulnya sampai ke kubur.


Pada hari itu juga selesailah mayat sahabat yang dikasihi itu dikuburkan di Perkuburan Ma’ala yang masyhur.


(Di Bawah Lindungan Ka’bah, 1999:69)


Di samping itu, terdapat juga nilai kesetiaan yang tidak berbelah bahagi dalam novel ini. Sama ada nilai kesetiaan suami isteri, kesetiaan antara pasangan kekasih mahupun kesetiaan dalam persahabatan. Nilai itu dapat dilihat sama ada dalam diri Hamid, Zainab mahupun ibu Hamid sendiri.


Contoh :


Meskipun masa itu ibu masih muda dan ada juga dua tiga orang dari kalangan saudagar-saudagar atau orang-orang berpangkat yang memintanya menjadi isteri tetapi semuanya telah ditolaknya dengan perasaan yang sangat terharu. Hatinya masih belum lupa kepada almarhum ayah, semangatnya boleh dikatakan telah mengikuti ke perkuburan.


(Di Bawah Lindungan Ka’bah, 1999:13)


Nilai kepentingan ilmu turut terdapat dalam novel ini. Masyarakat sebelum perang dunia kedua sudah pun memandang tinggi kepentingan ilmu dalam kehidupan sehari-hari. Ilmu dikatakan penting sama ada dalam kehidupan sekarang mahupun akan datang tidak kiralah ilmu fardu ain mahupun fardu kifayah. Akan tetapi, melihat senario pada masa itu, hanya golongan kaya dan berada sahaja yang mementingkan ilmu dalam kehidupan kerana mereka mempunyai wang untuk membiayai persekolahan dan pembelajaran anak-anak. Difahamkan keadaan ekonomi pada waktu tersebut berada pada tahap yang kurang memberangsangkan sehinggakan golongan yang miskin tidak mampu untuk bersekolah dan keadaan itu masih berlaku pada dunia hari ini. Dalam novel ini pula, dapat dilihat Haji Ja’far yang begitu mementingkan pendidikan anaknya Zainab dan juga Hamid sehingga sanggup menampung segala pembelanjaan Hamid dan ibunya. Malah ibunya walaupun dalam kalangan golongan yang miskin tetapi berusha dan bercita-cita mahu menghantar Hamid ke sekolah.


Contoh :


Pada suatu pagi saya datang ke muka ibu saya dengan perasaan yang sangat gembira, membawa kabar suka yang sangat membesarkan hatinya, yaitu besok Zainab akan diantarkan ke sekolah dan saya dibawa serta. Saya akan disekolahkan dengan belanja Engku Haji Ja’far sendiri bersama-sama anaknya.


Mendengar perkataan itu, terlompatlah air mata ibuku karena suka cita, kejadian yang selama ini sangat diharap-harapkannya.


(Di Bawah Lindungan Ka’bah, 1999:18)


Nilai seterusnya merupakan nilai berdikari dimana nilai ini terdapat dalam diri Hamid dan ibunya. Dapat dikaitkan dengan senario pada zaman itu yang kehidupannya bagi golongan bawahan yang tidak berapa terurus dan perlu berdikari untuk mencari rezeki sesuap nasi bagi mengisi perut dan menampung perbelanjaan harian. Malah masyarakat pada zaman tersebut tidak ramai yang mempunyai kerjaya yang tetap dan kebanyakkannya menjadi peniaga di tepi-tepi jalan. Hal ini berikutan turut berlaku pada Hamid dan ibunya dalam novel Di Bawah Lindungan Ka’bah karya Hamka ini.


Contoh :


Setelah saya agak besar, saya lihat banyak anak-anak yang sebaya saya menjajakan kue-kue; maka saya mintalah kepadanya supaya dia sudi membuat kue-kue itu, saya sanggup menjualkannya dari lorong ke lorong, dari satu beranda rumah orang ke beranda yang lain, mudah-mudahan dapat meringankan agak sedikit tanggungan yang berat itu.


(Di Bawah Lindungan Ka’bah, 1999:14)


Nilai terakhir adalah merupakan nilai kepentingan adat. Nilai kepentingan adat ini digarap oleh Hamka menjadikan pemikiran dalam novel ini. Masyarakat pada zaman sebelum perang dunia ke-2 amat mementingkan adat dan budaya kerana memang menjadi kewajipan masyarakat pada masa itu memandang adat sebagai warisan dan sesuatu yang perlu dituruti oleh semua lapisan masyarakat. Terdapat beberapa adat yang dikaitkan dalam novel ini salah satunya adat dalam perhubungan sosial antara lelaki dan perempuan yang bukan muhrimnya untuk duduk satu rumah mahupun sering berkunjung di rumahnya. Bagi masyarakat zaman itu, pergaulan antara lelaki dan perempuan amat terbatas terutamanya apabila lelaki dan perempuan itu datangnya dari golongan berada mahupun golongan terpelajar. Adat merupakan jati diri sesebuah bangsa. Dalam novel ini dapat dilihat bahawa Zainab dan Hamid begitu menjaga adatnya sehinggakan membataskan perjumpaan antara mereka di rumah walhal Hamid merupakan anak angkat kepada Haji Ja’far namun mereka bukanlah muhrim.


Contoh :


Sebagai kau tahu, kita telah pun tamat dari sekolah, maka adat istiadat telah mendindingkan pertemuan kita dengan laki-laki yang bukan mahram, bukan saudara atau famili karib, waktu itulah saya merasai kesepian yang sangat.


(Di Bawah Lindungan Ka’bah, 1999:53)


Terdapat juga dimana adat yang tidak membenarkan anak gadis yang meningkat remaja untuk tidak bersosial dan duduk di rumah sahaja. Mereka bagaikan burung yang berada di dalam sangkar yang selalu dikurung dan hanya dibenarkan keluar sekiranya terjadi hal penting sahaja. Ini merupakan salah satu adat melayu yang masih digunapakai sehingga ke hari ini. Dalam novel ini dapat dilihat dalam watak Zainab yang walaupun beliau sudah menamatkan pelajaran namun sekiranya beliau ingin menyambungnya, guru akan dijemput ke rumah.


Contoh:


Yang berasa sedih amat, adalah anak-anak perempuan yang akan masuk pingitan; tamat sekolah bagi mereka artinya suatu sangkar yang telah tersedia buat seekor burung yang bebas terbang.


Zainab sendiri, sejak tamat sekolah, telah tetap dalam rumah, didatangkan baginya guru dari luar yang akan mengajarkan berbagai-bagai kepandaian yang perlu bagi anak-anak perempuan, seperti menyuji, merenda, memasak dan lain-lain. Petang hari ia menyambung pelajarannya dalam perkara agama.


(Di Bawah Lindungan Ka’bah, 1999:23)


Sebagai pengakhiran, nilainya ialah mengenai adat perbezaan taraf dan darjat seseorang individu. Seperti yang diketahui, taraf dan darjat bukanlah perkara yang dipandang remeh oleh sesetegah golongan atasan mahupun bawahan. Sebagai contoh dalam novel ini, perbezaan taraf dan darjat menyebabkan cinta antara dua insan terhalang sebegitu sahaja yang akhirnya memakan diri sendiri. Perbezaan taraf dan darjat ini bukan lagi baru dalam masyarakat ini, bagi golongan miskin sejak kecil lagi mereka telah diajar supaya tidak terlalu rapat dengan golongan kaya. Begitulah juga dengan golongan kaya. Bagi mereka, perbezaan taraf dan darjat ini dianggap terlalu penting sehinggakan tidak menghiraukan hati dan perasaan. Dapat dilihat dalam diri Hamid yang begitu merendah diri kerana jatuh cinta akan perempuan yang jauh lebih tinggi darjat dan taraf dari dirinya. Tapi, hanya jauhari yang mengenal manikam, cinta itu buta dan cinta tidak kenal apa itu adat dan taraf hanya manusia dan masyarakat yang membeza-bezakannya. Dan akhirnya, taraf dan darjat tersebut terkubur bersama jasad biarpun cinta itu tetap utuh di sanubari.


Contoh :


“Hapuskanlah perasaan itu dari hatimu, jangan ditibulkan-timbulkan juga. Engkau tentu memikirkan juga, bahwa emas tak setara dengan Loyang, sutra tak sebangsa dengan benang.”


(Di Bawah Lindungan Ka’bah, 1999:31)











5.0 RUMUSAN KAJIAN




Tuntasnya, nilai merupakan salah satu aspek terpenting yang penghasilan sesebuah karya kerana nilai merupakan sifat ketinggian sama ada pemikiran, agama, kemasyarakat dan sebagainya. Novel Di Bawah Lindungan Ka’bah merupakan sebuah novel yang sarat dengan pelbagai nilai yang dipamerkan sama ada nilai-nilai yang positif mahupun nilai-nilai yang negatif. Nilai-nilai yang terkandung di dalam novel ini dapat dipertontonkan untuk generasi akan datang bagi melahirkan kesedaran dalam diri generasi sekarang.


Kepelbagaian nilai positif yang didukung oleh masyarakat pada zaman tersebut jelas menunjukkan bagaimana kehidupan mereka pada masa itu dan nilai hidup inilah yang diwarisi dari nenek moyang ini seterusnya diterapkan ke generasi yang mendatang. Penerapan nilai-nilai ini adalah untuk memberikan kesedaran dan meningkatkan lagi keperibadian masyarakat Melayu. Manakala nilai-nilai yang negatif haruslah disingkir dari kehidupan sekarang.


Secara keseluruhannya, nilai yang positif sebagai gaya hidup yang dipegang oleh sesebuah masyarakat haruslah dicontohi dan dijadikan pegangan bagi generasi muda zaman sekarang.














6.0 BIBLIOGRAFI


Hamka, 1999. Di Bawah Lindungan Ka’bah. Jakarta : PT Bulan Bintang


Parnikal, Boris, 1995. Perkembangan Sastera Nusantara Serumpun. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka


Dewan Bahasa dan Pustaka, 1994. Kamus Dewan Edisi Ketiga. Kuala Lumpur


Siri Lestari Sastera, 2006. Sejarah Kesusasteraan Melayu. Selangor : Dawama Sdn. Bhd


Abdul Rasid Jamian dan Arba’ie Sujud (2001). Integrasi Media; Pengajaran Bahasa dan Sastera. Subang Jaya. Kumpulan Budiman Sdn Bhd.



Nik Safiah Karim, Arbak Othman (2005). Kamus Komprehensif Bahasa Melayu. Shah Alam. Fajar Bakti Sdn Bhd.


(Diperoleh pada Ogos 25, 2009 daripada laman web Forum EKPKM: http://forum.ekpkm.com/viewtopic.php?f=42&t=358)



(Diperoleh pada Ogos 27, 2009 daripada laman web Forum Schools: http://schools.moe.edu.sg/rjc/subjects/malay/unsur%20sastera.htm)


(Diperoleh pada Ogos 27, 2009 daripada laman web Purwantini Fakultas Ilmu Budaya Universitas Airlangga Surabaya : http://www.daneprairie.com.)



No comments:

Post a Comment