Wednesday, October 28, 2009

Bersedih Sepanjang Hari

Kesedihan ini bukanlah kesedihan yang boleh dirasakan oleh golongan yang mengejar keduniaan, bersedih kerana dunia dan bergembira pun kerana dunia! Namun, ini kesedihan yang dilandai rasa takut, waspada dan penuh harapan, jauh dari putus asa dan pesimis, itulah yang dinasihatkan oleh tabiin yang agung Al-Hassan Al-Basri Rahimahullah yang berkata:“Sesungguhnya seorang mukmin itu di pagi hari bersedih, di petang hari bersedih, kerana ia berada di antara dua rasa takut. Pertama kerana dosa yang telah lalu sedang ia tidak tahu adakah Allah telah mengampuninya. Kedua tentang umur yang tersisa kerana ia tidak tahu apakah kebinasaan akan menimpa dirinya.”


Jika demikian maka hal itu adalah rasa takut jika dirinya mengikuti hawa nafsu dan penyimpangannya, khuatir jika dirinya binasa kerana terjerumus ke dalam kejahatan atau terperangkap ke dalam kebinasaan.


Inilah kesedihan kerana pengaruh iman, kesungguhan untuk menyahutnya, kuat pengaruh, yang mendorong seorang mukmin untuk berusaha bersabar, menjaga diri, membekali dirinya dengan kesabaran dan mujahadah, kerana dia hidup selalu di antara dua rasa takut, kesalahan yang telah lampau, tanggungjawab dan pengaruhnya pada masa mendatang yang penuh godaan dan tentangan.


Dia akan bersungguh-sungguh untuk menghapus kesalahan yang telah lalu, berbuat baik dan menjaga diri dari tipu daya syaitan di masa yang akan datang.


Begitulah kesedihan yang terpuji, tidak seperti kesedihan orang-orang yang cintakan dunia dan rakus, sebagai buah yang baik bagi seorang mukmin yang hatinya dipenuhi dengan rasa ini.


Adapun orang-orang yang menyangka bahawa dunia adalah tempat untuk bermain-main, bersenang-senang, berfoya-foya, bersuka-ria dengan berpaling dari akhirat, lupa akan hakikat dunia dan rahsianya, alangkah beratnya kesedihan mereka pada hari di mana manusia berdiri di hadapan Rabbul ‘Alamin. Alangkah besar kerugian mereka kerana telah bersuka-ria dan mengolok-olok orang yang bertakwa yang sentiasa berhati-hati dan bersedih di dunia. Padahal orang-orang yang bertakwa nantinya akan berkata yang bermaksud:


“Sesungguhnya kami dahulu, sewaktu berada di tengah-tengah keluarga kami merasa takut (akan diazab). Maka Allah memberikan kurnia kepada kami dan memelihara kami dari azab neraka.”


(Surah ath-Thur: 26-27)


Sesungguhnya kemajuan yang diraih oleh orang barat yang mampu memiliki hegemoni kuat di tengah-tengah manusia dari timur hingga barat, tiada target yang hendak diraih selain bersenang-lenang, bermain-main, bernikmat-nikmat dan berfoya-foya. Kemajuan tersebut adalah kemajuan atheis yang tidak beriman kepada hari akhirat dan tidak ada perhatian sama sekali agar manusia mendapat kebahagiaan di akhirat.


Ironinya, pandangan barat tersebut telah menjalar menjadi perkara umum dalam masyarakat Islam yang ditelan oleh kemajuan dan menjadikannya sebagai pedoman bertindak dan standard penilaian.


Sesungguhnya kesenangan, kegembiraan dan keceriaan memang tidak dilarang dalam Islam, akan tetapi tidak boleh bagi seorang muslim lupa akan tujuan wujudnya dunia, tidak boleh pula melupakan tugas hidupnya, bahkan Islam menyerunya untuk selalu bermuhasabah, banyak berfikir, mengikuti perintah dan mempersiapkan diri sebagaimana dalam al-Quran ada menyebut yang bermaksud:


“Wahai orang-orang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat), dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan. Dan janganlah kamu seperti orang-orang yang lupa kepada diri mereka sendiri. Mereka itulah orang-orang yang fasiq.”


(Surah al-Hasyr: 18-19)


Dan telah sampai pula kepada kita nasihat Al-Hasan Al-Basri Rahimahullah yang menjelaskan maksud dari kesedihan yang mulia tersebut yang memenuhi hati orang yang bertakwa, beliau berkata: “Sudah sepatutnya orang yang mengetahui bahawa kematian akan mendatanginya, hari kiamat menunggunya dan bahawa berdiri di hadapan Allah Ta’ala akan dialaminya, dia bersedih dalam waktu yang panjang.” Setiap kita akan mengalaminya, maka siapakah yang patut mengambil iktibar?



P/S : Terima kasih kepada penghantar email.

No comments:

Post a Comment