Setiap makhluk yang bernyawa pasti akan menemui kematian. Demikianlah sunnatullah yang telah ditetapkan oleh Allah taala yang menghiasi pentas kehidupan dunia ini. Apa yang aku tuliskan ini adalah untuk mereka yang masih lagi ada orang tersayang, untuk terus menyayangi dan berjasa sebelum terlambat.
Perlu diinsafi bahawa jemputan maut akan datang pada bila-bila masa tanpa mengambil kira masa sihat atau masa sakit, masa senang atau masa susah, masa muda atau masa tua, lelaki atau perempuan, masa kaya atau masa miskin dan masa lapang atau masa sibuk. Maut menjadi satu rahsia yang hanya diketahui oleh Allah taala. Kematian abah amat meninggalkan kesan yang begitu mendalam apatah lagi meninggalkan ma yang kesorangan. Kehilangan yang begitu ’cepat’ sekali dirasai. Apatah lagi dalam keadaan abah yang tidak kelihatan ’sakit’. Walaupun anak-anak semua dah besar, belajar semua jejauh, tapi kehidupan ini seolah tiada erti tanpa insan bergelar ’abah’ disisi. Selama ini setiap suka duka, pasti telefon dan maklumkan pada ma dan abah. Kalau dapat keputusan bagus, kalau dapat pengiktirafan sesuatu, pasti telefon mereka supaya mereka gembira.
Tatkala umat Islam menyiapkan diri untuk menghadapi ibadah puasa keesokan harinya, abah pergi meninggalkan kami. Tergiang-ngiang suara abah sehari sebelum ketiadaannya, bergurau senda dengan ma di telefon ketika aku bertanyakan mengenai juadah ’sahur’. Akhirnya, aku ’dihidangkan’ dengan berita yang memeritkan hati. Takdir yang perlu diterima walau ianya sukar sekali. Syukur, abah menghembuskan nafas terakhir di pangkuan ma yang mengucap dua kalimah syahadah. Dan amat kecewa kerana ketika abah pergi meninggalkan dunia ini, tiada seorang anak disisi, hanya ditemani ma tercinta. Maafkan kami, abah. Semoga roh abah ditempatkan dalam kalangan golongan yang beriman. Syukur abah dikebumikan dengan selamat.
Masih segar diingatan, pada 12 September 2009, pada pukul 4:00 petang, aku menerima panggilan dari sahabat karib abah, Che Aziz yang menetap di Putrajaya yang meminta aku segera datang ke KLIA. Beliau adalah orang pertama yang ma hubungi tatkala abah menghembuskan nafas terakhirnya. Aku menelefon ma. Ya Allah, hanya Dikau yang mengetahui perasaan dihatiku apabila terdengar suara esak tangis ma dan gelap gelita rasa dunia ini bila ma memberitahu bahawa abah telah tiada. Terduduk aku disaat terdengar khabar itu. Aku menghubungi adikku yani untuk memaklumkan khabar yang diterima. Terus aku menelefon dan meminta kenalanku yang berada di Perak, menghantar aku ke Pusat Asasi Petaling Jaya, untuk mengambil adikku, yani. Sepanjang perjalanan ke KLIA, aku berusaha menenangkan yani. Melihat air mata adikku yang jatuh, aku meminta diriku agar jangan menangis, adikku akan lebih sedih sekiranya aku menangis. Tatkala itulah aku meraih adikku dalam pelukan. Berusaha mengawal keadaan dengan sedikit lawak jenaka yang terlintas dihatiku. Teringat pula aku pada adik bongsuku yang berada di UMP Gambang, Pahang. Bagaimana dia menerima khabar ini agaknya. Aku menghubungi beliau, dan baru aku tahu, tiada seorang pun yang menyampaikan lagi berita itu kepadanya. Menangis dia tatkala mendengar khabar dariku, lantas terus meminta beliau bertenang dan menunggu kehadiran bapa saudara yang menetap di Cherating untuk membawa beliau pulang ke kampung. Memang kami tidak mengetahui berita kematian abah daripada mulut ma sendiri. Kenapa? Kerana ma tidak sanggup untuk memberitahu anak-anaknya yang terlalu rapat dengan abah, dan ma tidak tahu bagaimana caranya hendak memberitahu kami.
Apabila Izrail datang mengambil nyawa, kita tak boleh mencepat atau mengajak walau sesaat. Terasa hangat pelukan nenek tatkala aku sampai ke rumah. Selepas bersalaman dengan ma dan semua sanak saudara, jauh disudut penjuru rumah terpandang aku pada adik bongsuku berdekatan dengan jenazah abah, membaca surah Yasin. Dia mencium tanganku, aku mengusap belakang badannya, air matanya mula bertakung dikelopak matanya, perlahan aku bisikkan supaya bersabar dan jangan menangis, hipokritkan aku? Jatuh terduduk aku ditepi jenazah abah, tiada kekuatan untuk berdiri. Terdengar aku esak tangis dari ma, nenek, adik beradik abah, sepupu-sepupuku. Aku? Menjadi bingung dengan keadaan ini. Pertama kali pulang ke kampung dengan perasaan sedih, pertama kali pulang ke kampung ditemani orang lain, pertama kali sampai di rumah dipenuhi orang ramai, pertama kali tidak tidur malam, pertama kali menangis dan terus menangis, pertama kali menjirus air mawar, pertama kali menjalani ibadah puasa tanpa abah, pertama kali bakal menyambut ketibaan syawal tanpa abah, pertama kali tidak mendengar suara abah. Semuanya pertama kali. Dan pertama kali juga takkan jumpa abah lagi.
Aku membuka kain yang menutupi wajah abah, aku mencium dahi, pipi kanan, pipi kiri dan bangun. Menahan air mata dari berguguran. Tetiba hati aku ingin terus mencium lagi. Aku membongkokkan kaki dan mencium dahinya semula. Ciuman ini adalah ciuman terakhir. Ya Allah, tuhan sekalian alam, hati ini sayu mengenangkan pemergian abah tercinta. Ma hanya memandang dengan air mata sayu, penglihatannya kosong, setelah 21 tahun hidup bersama abah, kini tinggal seorang. Nenek pula hanya menangis dan terus menangis, katanya abah menantu yang baik, kehilangan abah ibarat seperti kehilangan sebelah dari bahunya. Orang kampung datang melawat sehingga lewat malam, mereka sendiri masih terkejut dengan berita ketiadaan abah kerana kelmarin abah pulang ke kampung ditemani oleh ma dan kembali semula ke Kuala Berang.
Aku menghantar jenazah abah ke tanah perkuburan, terhenti kakiku tatkala menghampiri kawasan tersebut. Hujan renyai-renyai yang membasahi bumi seakan menangisi pemergian abah.
Malam itu tenang sekali, sayup-sayup terdengar bacaan al-Quran dari ma sepanjang malam itu. Masing-masing tidak dapat lelapkan mata. Seusai menjamah ’sahur’ pada hari pertama umat Islam berpuasa, kami solat berjemaah yang diimamkan oleh sahabat baik abah, Che Aziz. Dalam bacaan doanya, beliau menangis, dan kami turut bersedih. Linangan air mata sahdu iringi pemergian sahabat ’dunia dan akhirat’ beliau.
”Ya Allah, sesungguhnya anugerah yang Kau pinjamkan kepada kami ini hilangnya tiada berganti”.
Selaku seorang anak, aku tahu bagaimana kasih seorang abah. Abah seorang yang penyayang, tabah dan memang benar-benar seorang yang penyabar. Aku selama ini tidak pernah meluahkan kasih kepada abah secara terus terang. Memang sangat sayang pada abah. Abah pernah memberitahuku, abah sayang akan anak-anaknya, abah sayang pada ma. Abah pernah tidak tidur malam kerana memikirkan anak-anaknya. Sihat ke anak-anaknya? Ada duit ke anak-anaknya? Makan dan minum cukup ke anak-anaknya? Jauh disudut hati aku, aku masih terkilan sebab aku selalu berfikir yang aku ini bukan anak yang baik.
Malam itu, sendirian di kamar, buat kali pertamanya sejak pemergian abah aku menangis semahu-mahunya. Aku tidak mahu ma, yani dan ucop melihat keadaan aku ketika itu. Mereka pasti bertambah sedih. Hati aku pilu, pedih dan terasa seperti disiat-siat dengan belati tajam. Sakit! Menangislah wahai hati. Gelora di jiwa aku khabarkan pada Yang Maha Kuasa. Yang Maha Mengetahui. Sesungguhnya hanya pada Dia. Aku? Hanya seorang anak. Anak pinjaman Yang Esa pada sepasang hambaNya bergelar ma dan abah.
“Dan Dialah yang mencipta kamu dari diri yang satu (Adam), maka (bagi kamu) disediakan tempat tetap (dalam tulang sulbi bapa kamu atau di bumi) dan tempat simpanan (dalam rahim ibu atau dalam kubur). Sesungguhnya Kami telah jelaskan tanda-tanda kebesaran (Kami) satu persatu bagi orang-orang yang mengerti (secara mendalam).”
Al-Anaam (6:98)
Maka, tanggungjawabku hanya satu. Jadi anak solehah!. Jangan derhaka pada ma dan jangan melenting di depan abah.
“Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ha” dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).”
Al-Isra (17:23)
Demi ayat-ayat Allah itu, jiwaku lemas. Lemas dalam timbunan dosa yang bertimpa-timpa. Ampuni aku abah! Sungguh aku khilaf dalam perilakuku. Air mukaku tidak mampu memalsukan amarah di jiwa. Teringat aku akan peristiwa dimana aku pernah lancarkan perang emosi terhadap abah. Puncanya cuma satu dan kecil sekali. Namun, syukur, aku sempat memohon maaf diatas kesalahan itu dulu. Marah? Layakkah aku marah pada abah? Di mana terletaknya kewarasan aku ketika aku tahu tindak tandukku ini bisa menyakiti hati abah? Aku palingkan muka, kelatkan wajah. Sengaja. Supaya abah tahu aku sedang lancarkan perang dingin. ”Tidak simpatikah kau wahai jiwa, tatkala makanan pertama pagi ditelan tawar oleh jiwa abah”. Makanan yang sepatutnya dihadam supaya menjadi tenaga untuk fizikalnya bekerja. ”Untuk siapa dia bekerja? Untuk siapa wahai hati?” ”Jangan kau pandang kekurangannya. Kekurangan manusia sentiasa besar di pandangan mata manusia. Tapi pandanglah kebaikan abah dengan pandangan mata hati. Mata hati tahu, kebaikan dalam diri abah berganda-ganda lebih besar dari kekurangan dirinya. Pandang sekeliling wahai mata hati, adakah lagi seorang abah yang lain seperti dia? Adakah lagi seorang abah lain yang mampu bertahan dengan setiap perang dingin yang aku lancarkan?.” Adakah lagi seorang Abah lain yang begitu sabar melayani aku yang hanya tahu meminta tanpa mahu mengerti erti memberi?
Ampuni kakak, abah! Menangislah wahai hati, menangislah, supaya aku terus ingat kekesalan ini.
Aku kembali ke Kuala Berang, menyimpan segala sisa kenangan disana, kami tidak akan menetap disini lagi, cukuplah disini menjadi rumah terakhir yang pernah didiami oleh abah. Aku menyimpan semua barang milik abah. Abah memang suka menulis. Malah pernah mengatakan bahawa tulisan dan tandatangan milikku sama dengan tulisan dan tandatangannya. Mungkin kerana abah pernah menjadi seorang guru dulu sebelum menukar kerjaya sebagai seorang anggota polis, kerana itu tulisan abah sangat kemas dan cantik. Terasa sayang hendak menyerahkan buku-buku milik kerajaan yang penuh dengan tulisan abah. Aku terpaksa pulangkan beberapa buah buku kerajaan yang tersimpan di rumah kepada rakan sekerja abah disamping berterima kasih kepada mereka kerana jenazah abah dihantar pulang ke kampung dengan cepat dan selamat serta penghormatan terakhir pihak PDRM Besut dan Kuala Berang buat abah. Aku terjumpa kad ucapan Selamat Hari Bapa yang ditulis oleh kami tiga beradik dan juga ma. Ma menitiskan air mata apabila terpandang beberapa keping gambar memancing di Tasik Kenyir yang terakhir diambil iaitu ketika aku cuti semester lepas. Terjumpa aku pada beberapa keping gambar abah bersama sepupuku. Abah memang suka budak kecik, pantang anak saper pasti dia dukung, bawak berjalan, sebab itu semua anak-anak saudaranya terlalu manja dengan abah, tidur dengan abah, makan dengan abah. Kekadang aku pun cemburu. Teringat aku pada Ikhwan, sepupu aku yang menangis teresak-esak saat abah dikapankan. Rasa terkilan kerana tidak berkahwin awal dan hadiahkan abah cucu dapat diusir ekoran teringatkan abah yang lebih mementingkan pelajaran anak-anaknya. Pernah abah berkata yang dia tidak akan halang anak-anaknya dari bercinta, asalkan pelajaran diutamakan. Alhamdulillah, abah pergi setelah melihat ketiga-tiga anaknya berjaya dalam pelajaran. Ini memang harapan abah, dan abah pernah berkata yang beliau begitu berbangga dengan aku dan adik-adik kerana berjaya melanjutkan pelajaran di IPTA walaupun kehidupan kami sederhana, tidaklah semewah orang lain.
Ya ALLAH, aku tak tahu bagaimana untuk meneruskan kehidupan ini, tanpa abah. Paling memberi kesan ialah dalam diri adik bongsuku, satu-satunya anak lelaki abah dan yang paling manja kerana kehendaknya sentiasa dipenuhi oleh abah. Pelajarannya sedikit sebanyak terganggu, kehilangan abah memang tamparan terbesar bagi diri kami. Baru bercadang hendak makan ’bubur lambuk’ yang dimasak oleh abah untuk puasa tahun ni, tapi Allah lebih menyayanginya. Abah memang pakar dalam memasak, dan setiap kali menyambut ramadhan, abah tidak akan lupa membuat ’bubur lambuk’ untuk anak-anaknya. Kerinduan pada abah tidak tertanggung oleh kami.
Ya ALLAH, sesungguhnya kematian ini memberi hidayah pada aku. Talkin buat abah masih segar dalam ingatan,
”Wahai Zainunddin bin Fatimah, tetapkanlah hatimu, inilah dia suatu dugaan yang paling besar. Ingatlah bahawa kamu sekarang sedang tinggal di dalam alam Barzakh, sehingga sampai satu masa kelak, kamu akan dibangunkan semula untuk berkumpul di Padang Mahsyar.
Insaflah wahai Zainunddin bin Fatimah, bahawasanya mati ini adalah benar, soalan malaikat Mungkar dan Nakir di dalam kubur ini adalah benar, bangun dari kubur kemudian kita dihidupkan semula adalah benar, berkumpul dan berhimpun di Padang Mahsyar adalah benar, dihisab dan dikira segala amalan kamu adalah benar, minum di kolam air nabi adalah benar, ada syurga dan neraka adalah benar. Bahawa senya hari Kiamat tetap akan adanya, begitu juga Tuhan yang maha berkuasa akan membangkitkan semula orang-orang yang di dalam kubur.
Di akhirnya kami ucapkan selamat berpisah dan selamat tinggal kamu disisi Allah Taala. Semoga Tuhan akan memberi sejahtera kepada kamu. Tuhan jua yang menetapkan hati kamu. Kami sekalian berdoa mudah-mudahan Allah Taala menjinakkan hati kamu yang liar, dan Allah menaruh belas kasihan kepada kamu yang berdagang seorang diri di dalam kubur ini. Mudah-mudahan Tuhan akan memberi keampunan dan memaafkan kesalahan kamu serta menerima segala amal kebajikan kamu.
Ya Allah Ya Tuhan, kami merayu dan bermohon kepada Mu supaya tidak disiksa mayat ini dengan kemegahan penghulu kami Muhammad SAW.
InsyaAllah selaku anak-anak kami telah dibekalkan ilmu agama, cuma aku kini telah lupa untuk mengamalkannya sejak mula belajar, jauh dari keluarga, setelah terlupa dengan nikmat Allah. Ma juga seorang yang dan solehah, aku yakin Allah maha pengampun dan maha bijaksana dalam menentukan Al-MizanNya.
Sesungguhnya, rindu itu sentiasa mengekori langkah kakiku, hingga ke saat ini, doaku mengiringi pemergian abah.
Buat korang yang masih ada abah, jadikan iktibar, hargailah mereka seadanya, cium pipi abah sebelum ciuman terakhir. Hargailah insan-insan disekelilingmu, kerana kita tidak tahu bila saat kita akan kehilangan mereka untuk selamanya.
Dan curahkan kasih sayang tanpa selindung. Tunjukkan.
Hening talkin dibaca untuk sebuah cinta,
Engkau dengarkah akan sebak suaraku?
Saat aku berteleku menyiram air mawar,
Titis-titis air mata mengalir bersama pedih luka hirisan hati..
Duhai cinta,
Moga damailah engkau disana..
cinta terhadap ayah dan ibu takkan hilang hingga ke hujung hayat..
ReplyDeleteBetul betul.. Huhu
ReplyDelete